Ahad, 17 Januari 2010

GTP dedah banyak aduan polis enggan terima laporan

BERITA HARIAN ONLINE


KUCHING: Keengganan polis menerima laporan adalah antara aduan paling banyak dikemukakan pada sesi dialog pengunjung Makmal Jenayah sempena Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama Kementerian Dalam Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Turut dikemukakan, berasa tidak puas hati terhadap cara anggota polis mengambil laporan apabila tidak membenarkan pengadu menulisnya, sebaliknya laporan disediakan sendiri oleh anggota terbabit.

Malah ada juga mendakwa anggota polis tidak telus ketika menerima laporan apabila mengubahsuai laporan yang dibuat pengadu dengan alasan mahu mengekalkan kadar jenayah di kawasan tanggungjawab balai berkenaan pada tahap rendah.

Seorang pengunjung program itu mendakwa, anggota polis tidak mahu menerima laporan kehilangan dokumennya akibat jenayah ragut atau samun, sebaliknya mengubah kandungan laporan itu hanya kerana mahu memastikan sasaran 20 peratus penurunan kes jenayah jalanan dapat dicapai tahun ini.

Pegawai Makmal Jenayah, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Abdul Aziz Md Nor, yang mengendalikan sesi dialog itu, berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap aduan orang ramai berhubung sikap anggota pihak berkuasa itu.

Tiada ulasan: