Isnin, 18 Januari 2010

2 lemas, 4 hilang

Latihan mendayung perahu naga Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang bertukar tragedi selepas berlanggar dengan tongkang

Oleh Norakmah Mat Youb dan Petah Wazzan Iskandar


AHLI keluarga meratapi mangsa tragedi perahu naga.


GEORGETOWN: Latihan mendayung perahu naga oleh pasukan Sekolah Menengah Chung Ling bertukar tragedi apabila guru penasihatnya serta seorang pelajar lemas, manakala empat lagi hilang selepas perahu mereka dipukul ombak dan berlanggar dengan tongkang di Perairan Pantai Macalum di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, kira-kira 100 meter dari pantai itu, perahu yang dinaiki 18 orang termasuk dua jurulatih dikatakan terbalik beberapa kali menyebabkan mangsa tercampak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata mayat guru penasihat pasukan berkenaan, Chin Aik Siang, 28, dijumpai tersangkut pada perahu naga itu jam 10.20 pagi, manakala mayat Jason Ch'ng, 17, ditemui di bawah tongkang pada jam 2.45 petang. Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Gerakan mencari empat pelajar yang hilang pula diteruskan pagi ini selepas dihentikan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan semakin gelap. Empat pelajar itu dikenali Brandon Yeoh, 17; Koh Yizhiang, 17; Cheah Zi Jun, 17 dan Yong Xiang, 16.

Ayub berkata, pelajar sekolah itu bersama seorang guru dan dua jurulatih dari Penang Forward Sports Club menjalani latihan mendayung untuk perlumbaan perahu naga yang dijadualkan pertengahan tahun ini.

DARI kiri, Jason Ch'ng, Chin Aik Siang, Cheah Zi Jun,
Koh Yizhiang dan Brandon Yeoh.

“Ketika cuba membuat pusingan, perahu itu dipukul ombak menyebabkannya terlanggar tongkang dan terbalik,” katanya.

Beliau berkata, 11 mangsa sempat berenang ke pantai berhampiran manakala seorang lagi diselamatkan nelayan.

Katanya, empat mangsa yang terselamat dimasukkan ke HPP kerana cedera di beberapa bahagian badan.

Ayub berkata, berdasarkan siasatan awal dan maklumat mangsa yang terselamat, polis dimaklumkan bahawa ada beberapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan ketika menjalani latihan.

PERAHU membawa 17 pendayung Sekolah Menengah Chung Ling yang karam ditarik ke jeti Pantai Macalum, Pulau Pinang, semalam.

Ditanya sama ada pihak sekolah terbabit memaklumkan latihan itu kepada pihak berkuasa, Ayub berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Kita akan menjalankan siasatan kerana saya dimaklumkan mereka menjalani latihan mendayung perahu naga itu setiap Ahad,” katanya.

Terdahulu, Ayub melawat dan menenangkan keluarga mangsa yang menunggu di tepi pantai sejak jam 9 pagi bagi mengetahui perkembangan anak masing-masing.

Seramai 60 anggota pelbagai agensi menyertai gerakan mencari dan menyelamat.

Tiada ulasan: