Rabu, 13 Mei 2009

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi," tegas Mahfuz.

Zambry, tegas Mahfuz dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Mahfuz dalam masa yang sama berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara syarat yang boleh diberikan tegas Mahfuz, Zambry tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. - mks. _

Tiada ulasan: