Isnin, 11 Mei 2009

Pemuda PAS Titiwangsa bantah robohkan India settelement

RUSLI ISLAM


PEMUDA PAS Titiwangsa membantah sekeras-kerasnya tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan merobohkan rumah penduduk di India Settlement Kg Pandan. Pagi tadi, DBKL telah memberikan notis kepada penduduk India Setlement, bahawa kerja merobohkan akan dilakukan pada 14 Mei ini.

Tindakan meroboh ini menunjukkan kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib rakyat di situ. Kerajaan dilihat hanya terus mengejar kemajuan dan keuntungan tanpa menoleh dan memikirkan nasib rakyat yang ditimpa kesusahan.

Slogan "One Malaysia" ciptaan Dato' Seri Najib yang kononnya akan mengutamakan kesejahteraan rakyat menjadi laungan kosong semata-mata.

Walaupun pihak yang bertanggungjawab telah menyediakan penempatan di Kampung Muhibbah, Puchong ia masih tidak menyelesaikan masalah penduduk India Settlement malah akan lebih menyukarkan hidup mereka. Hampir semua penduduk India Setlement bekerja di Kuala Lumpur dan anak-anak mereka bersekolah di sekitar Kampung Pandan.

Bayangkan bagaimana sukarnya hidup mereka ini apabila terpaksa tinggal di Puchong kerana rata-rata penduduk India Settlement akan masuk kerja pada pukul 7.30 hingga 8.30 pagi. Jarak perjalanan yang lebih jauh di tambah lagi dengan keadaan jalan yang sentiasa sesak pada waktu pagi, akan melambatkan mereka masuk kerja dan seterusnya memberi kesan negatif prestasi mereka di tempat kerja.

Jika mereka berhenti kerja, mampukah kerajaan memberi jaminan mereka mendapat kerja di sekitar kawasan penempatan baru nanti.

Selain itu, anak-anak mereka pula terpaksa berpindah ke sekolah lain yang lebih jauh kerana kami mendapat maklumat kawasan penempatan yang disediakan adalah jauh daripada sekolah.Sehubungan dengan itu, kerajaan sepatutnya menyediakan tempat tinggal yang sesuai dengan mengambil kira faktor pekerjaan penduduk dan pendidikan anak-anak mereka.

Wilayah Persekutuan dibawah pentadbiran baru Dato' Raja Nong Chik sepatutnya menunjukkan keprihatinan lebih baik kepada rakyat dan penduduk di sekitar Kuala Lumpur yang semakin tenggelam dicelah-celah pembangunan.

Pihak berkuasa juga mesti terlebih dahulu memahami, meneliti dan mengutamakan nasib penduduk India Settlement sebelum bertindak merobohkan kawasan tersebut. Jangan kita mengorbankan hidup rakyat demi mengejar pembangunan yang belum tentu berguna kepada rakyat.

Tiada ulasan: