Rabu, 20 Mei 2009

PAS tuntut hakim berwibawa

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - PAS bukan sekadar menuntut panel lima hakim mahkamah rayuan dibentuk bagi mendengar permohonan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengetepikan keputusan mahkamah itu sebelum ini, malah menuntut hakim-hakim tersebut hendaklah mempunyai integriti yang tidak dipersoalkan rakyat.

Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS tidak mahu kes itu dianggotai oleh hakim yang didakwa dicadangkan oleh Datuk V K Lingam.

"Kita memberi perhatian yang serius kepada dakwaan bahawa Datuk Ramly Ali iaitu hakim mahkamah rayuan yang membenarkan permohonan (Datuk Seri Dr) Zambry (Abd Kadir) untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah dahulu adalah antara hakim yang disebut oleh Lingam dalam rakaman videonya yang disiasat suruhanjaya khas dahulu," katanya.

Dalam rakaman video tersebut, Lingam didengar berkata: "Then, there is a letter. According to Tengku, I'm going to see him tomorrow, there is a letter sent to ah CJ I mean to Tan Sri Dzaiddin that Datuk Heliliah, Datuk Ali and Datuk Ramli and Datuk Maarop be made judges and ah he rejected ah that Dr Andrew Chew and apa itu, Zainuddin Ismail lah because Zainuddin Ismail who condemned your appointment and Tan Sri Mohtar's appointment".

Mahfuz seterusnya menegaskan PAS juga menuntut supaya hakim-hakim yang membicarakan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu tidak menganggotai panel lima hakim yang dituntut itu.

"Kita tidak cuba menyatakan mereka bersalah atau tidak. Tetapi hakim yang dipertikaikan kredibiliti dan integriti mereka oleh sebahagian besar rakyat negara ini tidak sewajarnya mendengar rayuan Nizar itu," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Memandangkan hubungan rapat Ketua Hakim Negara kini dengan Umno di mana beliau pernah menjadi peguam Umno serta pernah menganggotai Lembaga Disiplin Umno, katanya lagi, PAS tidak mampu menolak kebimbangannya terhadap rayuan itu.

"Kita tidak lupa bagaimana Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang mendedahkan bahawa beliau diarah menerusi telefon supaya menolak tanpa perbicaraan petisyen ke atas keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas," kata Mahfuz._

Tiada ulasan: