Jumaat, 15 Mei 2009

Malaysia rekod kes pertama H1N1

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes pertama wabak influenza H1N1 di negara ini melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, pelajar berusia 21 tahun itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

"Beliau telah pun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan kontak ke atas kes.

"Ini termasuklah menghubungi ahli keluarga beliau yang ada sejarah kontak dengan beliau dan penumpang serta anak kapal yang menaiki kapal terbang yang sama," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga menasihatkan semua penumpang penerbangan MH 091 dari Newark, USA dan tiba di KLIApada 13 Mei 2009 jam 7.15 pagi supaya menghubungi talian 03-88810200/03-88810300 untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai yang kini sedang dalam perjalanan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kepada Bernama, kakitangan kesihatan sedang berusaha mengesan semua penumpang dalam penerbangan itu dan mereka yang berhubungan dengan pelajar itu sejak kepulangannya.

"Ini amat penting dan semua perlu beri kerjasama untuk mencegah penularan wabak penyakit ini di negara ini.

"Kami telah mengambil pelbagai langkah pencegahan dan jabatan kesihatan sedang bekerja keras untuk mencegahnya," katanya.

Liow turut menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan jika berasa tidak sihat.

Katanya, kes ini menjadikan Malaysia negara ke-36 yang mencatatkan kes tersebut.

"Malaysia kini berada dalam tahap berjaga-jaga yang tinggi," katanya.

Tiada ulasan: