Isnin, 11 Mei 2009

Lima candat sotong dipanah petir

Oleh Noor Aznida Alias


KUALA TERENGGANU: Lima orang termasuk tiga kakitangan kerajaan dari Putrajaya, cedera disambar petir ketika menyertai ekspedisi mencandat sotong di perairan negeri ini, kira-kira jam 9.45 malam kelmarin.

Mangsa dikenali Adnan Dolah, 49, Mohd Syahrunizam Yahya, 25 dan Shahrulnizam Kamaruddin, 23 dari Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta seorang anak peserta ekspedisi itu, Shahrinizam Shahar, 17, dan penduduk tempatan, Zuhaimi Mad Amin, 39.

Adnan yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, rombongannya tiba di Kuala Terengganu Jumaat lalu dan berlepas ke perairan itu dari Jeti Seberang Takir, kelmarin.

“Cuaca pada waktu itu cerah, tetapi kira-kira jam 9.30 malam kami terpaksa berhenti mencandat berikutan hujan lebat. Tidak lama selepas itu, kedengaran dentuman kuat disertai cahaya putih di tengah bot.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan apabila saya tersedar, saya sudah tersembam di lantai dan dihempap serpihan kayu dari rumah bot yang turut pecah disambar petir. Dada dan tangan saya terasa pedih dan panas seperti melecur,” katanya yang masih trauma dan serik untuk menyertai aktiviti mencandat pada masa akan datang.

Adnan yang luka di tangan, kepala dan bengkak di bibir, berkata selepas kejadian itu mereka terus ke jeti dan dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan.

Shahrulnizam pula berkata, dia hampir pitam dan badannya terasa seperti melekat pada besi.

Bagaimanapun, dia berjaya lari ke bahagian depan untuk mengelak kecederaan lebih parah sebelum menyedari telinganya turut berdarah.

"Sebelum ini saya sudah beberapa kali mencandat di Terengganu, tetapi selepas insiden ini saya tak fikir akan menyertai aktiviti mencandat lagi," katanya.

Tiada ulasan: