Isnin, 11 Mei 2009

Kerajaan Persekutuan perlu segera lulus tender jambatan kedua – Guan Eng

BERNAMA


PULAU PINANG – Ketua Menteri, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan untuk tidak terus menangguhkan keputusannya mengenai kontraktor bagi fasa kedua dan ketiga projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai syarikat yang akan mengendalikan kedua-dua fasa itu.

Katanya, China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. telah diberikan Fasa Dua kontrak RM2.3 bilion untuk membina substruktur jambatan itu dan menurutnya keseluruhan kerja itu telah siap 20 peratus.

‘‘Kami mahu projek itu siap mengikut jadual dan berharap Kerajaan Persekutuan akan segera membuat keputusan mengenai kontraktornya,’’ katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan kedua-dua fasa projek itu di sini hari ini.

Guan Eng berkata, Fasa Tiga projek itu merupakan satu-satunya fasa yang masih menunggu untuk ditenderkan dengan kira-kira RM900 juta dan menurutnya kos keseluruhan projek itu dijangka mencecah kira-kira RM4.5 bilion.

Kontraktor ketiga akan dilantik melalui tender terhad dan diberikan kontrak RM750 juta bagi kerja-kerja di bahagian daratan jambatan itu di Batu Maung dan Batu Kawan.

Jambatan Kedua Pulau Pinang yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di tanah besar dijangka siap pada Mei 2012.

Tiada ulasan: