Isnin, 11 Mei 2009

Empat negara baru dilanda H1N1

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Empat buah negara lagi dilanda wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang menjadikan kesemuanya berjumlah 29 buah negara setakat ini.

Negara-negara yang baru dilanda wabak itu ialah Argentina dan Australia masing-masing satu kes, manakala Panama (dua kes) dan Jepun (tiga kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, dengan tambahan empat negara yang dijangkiti wabak itu, jumlah kes itu kini dilaporkan sebanyak 3,440 kes.

''Sehingga pukul 2 petang semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sebanyak 940 kes baru bertambah.

''Sebanyak dua kematian berlaku iaitu masing-masing satu kes di Kanada dan Mexico, menjadikan sebanyak 48 kematian dilaporkan sehingga kini,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mohd. Ismail berkata, WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran wabak penyakit itu pada Fasa 5 sejak 29 April lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang arahan sekatan perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan dikeluarkan ke atas mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

''Orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan antarabangsa, manakala sesiapa yang melakukan lawatan antarabangsa dan mempunyai tanda-tanda tersebut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan.

''Di samping itu, tiada risiko mendapat jangkitan tersebut sekiranya daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul,'' katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua empat laporan kes yang diterima di Bilik Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kementerian Kesihatan sehingga pukul 12 malam tadi berhubung pesakit yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, disahkan negatif terhadap virus H1N1.

''Sehingga ini, tiada kes dikesan di negara kita,'' katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa di negara ini masih berjalan seperti biasa iaitu seramai 2,343 penumpang telah disaring.

Katanya, seramai 320 penumpang diperiksa pasukan kesihatan termasuk dua daripadanya dirujuk ke hospital membabitkan 14 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pulau Pinang.

''Selain itu, CPRC telah menerima sejumlah enam panggilan daripada orang ramai, kebanyakannya berhubung perjalanan ke luar negara, vaksin, saringan dan tindakan jika dijangkiti wabak berkenaan,'' katanya.

Tiada ulasan: