Selasa, 26 Mei 2009

Dakwaan ganjaran: Aminah beri keterangan kepada SPRM

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PULAU PINANG: Calon Bebas, Aminah Abdullah telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang kira-kira enam jam berhubung pendedahan bukti beliau ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Aminah berkata beliau telah dihubungi SPRM agar hadir memberikan keterangan berhubung perkara tersebut.

"Semalam SPRM hubungi Kak Min (Aminah), mereka suruh datang beri keterangan sekejap saja, tapi dari pukul 4.30 petang sampai pukul 10.30 malam mereka masih tak benarkan Kak Min balik," katanya ketika ditemui di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di sini hari ini.

Jelasnya, sewaktu pertemuaan tersebut juga beliau telah menyerahakn kesemua bukti yang ada bagi menyokong pendedahannya untuk disiasat.

"Masa itu juga Kak Min serahkan bukti-bukti yang ada iaitu rakaman perbualan dan gambar.

"Ada tiga rakaman perbualan bagi tiga kali pertemuan antara Kak Min dan mereka serta tiga keping gambar yang dirakamkan menggunakan telefon bimbit," katanya.

Semalam Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR iaitu seorang Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang dan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Tambah Aminah SPRM telah menghubunginya lagi awal pagi tadi dan meminta beliau tampil menyambung keterangan.

"Hari ini pun SPRM minta Kak Min datang lagi nak beri keterangan, semalam mereka tanya perkara-perkara normal sahaja.

"Kak Min memang sedia nak berikan kerjasama yang sebaik mungkin agar mereka dapat jalankan siasatan, tapi mungkin lewat sikit Kak Min pergi.

"Mungkin selepas jumpa pengunji dan jentera Kak Min di Penanti baru Kak Min akan ke SPRM, tapi tak pasti lagi pukul berapa," katanya.

BERITA TERDAHULU

Dakwaan ganjaran: Aminah buat laporan di SPR

Calon Bebas, Aminah Abdullah hari ini telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaannya ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Beliau juga mengemukakan bukti berbentuk cakera padat yang mengandungi rakaman perbualan bersama wakIl PKR tersebut serta tiga keping gambar yang dirakamkan menggunakan telefon bimbit.

"Kehadiran Kak Min (Aminah) hari ini ialah untuk serahkan bukti-bukti yang ada.

"Kak Min amat berharap supaya pihak SPR akan membuat siasatan dengan adil untuk tegakkan kebenaran, katanya ketika ditemui di pejabat SPR negeri hari ini.

Bukti-bukti berkenaan diserahkan kepada Pengarah SPR Negeri, Morat Pora melalui Ketua Pembantu Tadbir SPR, Normah Shaari.

Tiada ulasan: