KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui mencadangkan supaya LTTE tidak dilabel sebagai pengganas.
Bahkan beliau tidak tahu apa tujuan suratnya bertarikh 12 Februari lalu yang ditulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah dirinya kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).
“Saya mencadang supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists kerana Kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan Tamil Tigers berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists.
“Jika label terrorists diguna terhadap Tamil Tigers, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan,” katanya dalam kenyataan di blognya hari ini.
Menurut Mahathir, langkah itu konsisten dengan pendirian pihaknya sebelum pilihan raya 2018 untuk menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa.
“Dan mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu travesty of justice ataupun satu ketidakadilan yang melampau.
“Kerana itu saya membuat cadangan di atas kepada Tan Sri Muhyiddin ketika itu,” jelasnya.
Lagi pun, berkenaan dengan penyokong LTTE, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara ketika itu, tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang keganasan yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.
“Saya memberi pendapat saya kepada Menteri yang bertanggung jawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.
“Bagi saya, jika Kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan