Isnin, 21 September 2020

Mahkamah cadang kes saman Khalid Samad - FMT diselesai cara baik

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menasihatkan supaya kes saman fitnah bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Abdul Samad, terhadap sebuah syarikat penerbitan portal berita dalam talian, Free Malaysia Today (FMT) dan bekas ketua pengarangnya, diselesaikan secara baik.

Saman itu adalah berhubung penerbitan artikel memfitnah membabitkan jawatan perdana menteri ke-8 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili Khalid memberitahu pemberita bahawa, mahkamah meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut.

“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, mahkamah menetapkan dua hari bermula 1 Julai tahun depan untuk perbicaraan kes,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datin Rohani Ismail, yang turut menetapkan 10 Dis untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 23 Jun lepas, Khalid, yang juga pengarah komunikasi parti Amanah selaku plaintif memfailkan saman, dengan menamakan Abdar Rahman Koya dan FMT Media Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Shah Alam itu mendakwa pada 26 Feb lepas, kedua-dua defendan telah mengarang dan menerbitkan artikel bertajuk ‘Khalid presses on, tell Dr M to make way for Anwar’ di portal berita berkenaan, selepas merujuk kepada hantaran Twitter milik plaintif pada hari yang sama.

Dakwa Khalid, defendan telah menterjemahkan hantaran Twitternya dengan menggunakan perkataan defendan sendiri dalam Bahasa Inggeris, tanpa mendapatkan sebarang pengesahan daripada plaintif dan penerbitan memfitnah itu boleh dilihat dan diakses, di portal berita berkenaan.

Khalid mendakwa penerbitan memfitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif, telah menuntut agar Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri atau perdana menteri interim, selain mendakwa plaintif bersikap biadap dan tidak menghormati seorang tokoh yang berpengalaman serta berpangkat tinggi.

Dakwanya walaupun defendan menerbitkan satu pernyataan memohon maaf terhadap plaintif, namun ia tidak disiarkan kepada umum sebaliknya defendan pertama (Abdar), telah mengejek plaintif seterusnya menegaskan bahawa terjemahan terhadap hantaran Twitter adalah tepat.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan, selain memohon kedua-dua defendan menerbitkan pernyataan permohonan maaf dalam terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif, kos, dan injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula artikel berkenaan.

Sementara itu, kedua-dua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 7 Ogos lepas mendakwa terjemahan yang dilakukan adalah benar dan tidak mengelirukan, serta tidak memfitnah plaintif. Bernama

Tiada ulasan: