PETALING JAYA: Sebuah sindiket Australia menggunakan kru penerbangan Malaysia untuk menyeludup dadah menerusi seluar dalam mereka ke negara itu, lapor Brisbane Times semalam.
Menurut laporan itu, sindiket terbabit bergantung kepada pramugara atau pramugari yang bekerjasama dengan kru kabin Malaysia Airlines dan Malindo Air untuk menyeludup heroin ke Melbourne yang kemudiannya akan menukar dadah itu untuk wang tunai di hotel tempatan.
Katanya, ketua sindiket itu di Melbourne, Michelle Ngoc Tran, membayar A$155,000 bagi setiap 1kg heroin dan menjualnya kepada pembeli pada harga A$195,000. Wanita itu memotong bayaran keuntungannya untuk kurier dan perantara lain.
Portal itu melaporkan Tran, 49, seorang jururias kuku, dikenali sebagai “Permaisuri Richmond”, menurut ringkasan pendakwaan yang diserahkan kepada mahkamah daerah minggu ini.
Ketika Tran mengetuai sindiket itu, ia mengimport 6.6kg heroin dengan nilai pasaran mencecah A$8 juta antara Oktober 2018 dan awal Januari 2019. Ia turut menyeludup 7kg dadah jenis “ice” dan 500gm kokain ketika itu.
Menurut laporan itu, keldai dadah yang direkrut di Malaysia diarahkan “berjalan dengan yakin”, dengan bungkusan dadah diikat pada kaki, coli dan seluar dalam mereka.
Mereka berlatih selama 3 bulan dengan bantal diikat pada kaki sebelum mula menyeludup 1kg heroin pada satu-satu masa.
Katanya, Tran menggunakan bahasa kod ketika bercakap dengan rangkaian sekutunya. Pembekalnya di Malaysia ialah “Encik Hanoi” dan wanita itu mengerahkan “askarnya” menukar wang tunai untuk dadah itu serta meminta kru penerbangan jika mereka akan datang untuk menemui “Mandy” (Melbourne) atau “Sandy” (Sydney).
Brisbane Times melaporkan Tran mendakwa dia terbabit dalam perniagaan dadah hampir 30 tahun dan namanya dikenali ramai dengan seorang daripada “askarnya” memegang telefonnya ketika dia bercakap.
Ia memetik Pendakwa Raya Jonathan Manning yang menulis ringkasan mahkamah itu, polis dan pihak berkuasa lain memintas 4 daripada 8 bungkusan heroin pada akhir 2018, tetapi 4 lagi bungkusan berjaya diedarkan.
Pada 6 Jan 2019, katanya, seorang pramugari Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Melbourne selepas peronda sempadan menemui bungkusan dadah padanya.
Wanita berusia 40 tahun itu dilaporkan memberitahu polis, dia memerlukan wang untuk membantu ibunya yang sakit dan anak perempuannya. Dia dibayar kira-kira A$1,700 untuk setiap bungkusan yang diseludupnya dan mengakui menyeludup sekurang-kurangnya 20 bungkusan dadah ke Australia.
Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengimport sejumlah heroin.
Menurut laporan itu, Hakim Michael Cahill mengakui keadaan keluarga pramugari itu akan meraih simpati ketika hukuman dijatuhkan bulan depan, walaupun dia tahu tindakannya salah dan bahaya yang berpunca daripada dadah.
Katanya, kegagalan pramugari itu muncul pada waktu pertukaran bungkusan menyebabkan sindiket itu tahu sesuatu yang buruk berlaku dan Tran bersama anggota lain ditahan beberapa hari kemudian.
Bagaimanapun, 3 anggota, semuanya rakyat Malaysia, berjaya keluar dari Australia sebelum ditahan.
Tran muncul di mahkamah Isnin lalu dan mengaku bersalah mengimport dan menyeludup sejumlah dadah. Dia dijadualkan berdepan prosiding rayuan bulan depan.
Menurut laporan, 4 lagi anggota sindiket itu hadir di mahkamah pada Selasa lalu dan semalam, manakala 2 lagi dijatuhkan hukuman oleh majistret.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan