Jumaat, 18 September 2020

Kembalikan bantuan RM300 untuk nelayan bukan gula-gula politik

Muhammad Azizul Osman
MGF17092020_CERAMAH-UMUM-BN-TAWAU-3-681x453
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki 
bercakap kepada media selepas hadir ke Ceramah Umum sempena kempen Pilihan 
Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Dewan Terbuka KK Hamid Hassan, Kampung 
Tanjung Batu Laut, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN,

TAWAU – Elaun khas RM300 membantu golongan nelayan yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 bukan gula-gula politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa bantuan itu dikembalikan setelah dihentikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ini adalah semua bantuan yang terhenti, dan bukannya bantuan baharu. Ini bantuan yang dulu BN perkenalkan tetapi bila PH memerintah mereka yang menghentikan segala peruntukan bantuan kepada nelayan sehingga ramai yang susah.

“Bagi saya ini adalah soal waktu bagi kerajaan PN, BN yang hari ini kita bergabung walaupun kita kerajaan yang wujud hasil daripada keruntuhan PH akibat daripada mereka sendiri. Tetapi yang penting kita bantu rakyat sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program ceramah umum di DUN Tanjung Batu, Tawau, semalam.

Asyraf Wajdi ditanya sama ada bantuan itu adalah gula-gula politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan berita gembira kepada nelayan dengan menaikkan semula kadar Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 sebulan kepada RM300 sebulan.

Elaun itu adalah langkah bagi mengembalikan elaun khas yang dipotong ketika pentadbiran PH.

Pemulangan RM50 itu diharap Muhyiddin dapat membantu golongan nelayan yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan bantuan khas, khususnya untuk kerajaan Sabah dan Sarawak di bawah Skim Subdisi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma berjumlah RM40.34 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kadar dividen sebanyak 8.1 peratus bagi Dana Peladang Kebangsaan untuk 2019, dengan keseluruhan agihan dividen sebanyak RM7.7 juta.

Agihan itu diberikan selepas Dana Peladang Kebangsaan di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperoleh keuntungan sebanyak RM9.3 juta bagi tahun 2019. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: