Jumaat, 4 September 2020

Gangguan air: PBT digesa tarik lesen kilang cemar Sungai Selangor

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor mengambil sampel 
air Sungai Selangor untuk menjalankan ujian bau susulan 
pencemaran di 4 LRA sejak pagi semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendesak pihak berkuasa tempatan menarik balik lesen operasi kilang yang menjadi punca pencemaran air di Sungai Selangor sejak semalam.

Pengerusinya, Shahir Adnan berkata, tindakan tegas perlu diambil sebagai amaran kepada pihak lain, khasnya pengusaha kilang bagi mengelakkan pencemaran sungai berulang.

Beliau merujuk kenyataan Lembaga Urus Air Selangor semalam yang berkata, kilang di Sungai Gong dipercayai punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang sejak pagi semalam susulan penutupan 4 loji rawatan air di Sungai Selangor akibat pencemaran.

Siasatan awal mendapati punca pencemaran disebabkan kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

Shahir yang juga ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia berkata, pemberian notis amaran dan penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan lanjut gagal membendung pencemaran daripada terus berlaku.

“Keadaan pada hari ini menunjukkan mereka yang mencemarkan sungai seakan-akan tidak mempedulikan tindakan undang-undang atau mungkin pihak berkenaan merasakan ia terlalu ringan untuk dipandang serius, di mana kejadian pencemaran sungai kerap berlaku sejak akhir-akhir ini atau tiada penguatkuasaan ketat oleh PBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Selangor, Hee Loy Sian (kiri) menunjukkan premis 
kilang di Sungai Gong yang disyaki melakukan pelepasan 
sisa berbau ke Sungai Selangor ditutup selama 14 hari untuk 
siasatan lanjut. (Gambar Facebook)

Operasi 4 LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan sejak pagi semalam susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ia menyebabkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air sejak pagi semalam.

Tiada ulasan: