PETALING JAYA: Semakin ramai pekerja dalam industri pelancongan yang diberhentikan beralih ke sektor hartanah, kata Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Lim Boon Ping.
Katanya, trend itu berlaku selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan Mei lalu.
“Ramai daripada mereka mendaftarkan diri untuk menghadiri kelas menjadi ejen hartanah. Mereka kata tidak kisah menukar kerjaya demi mencari rezeki,” katanya kepada FMT.
Industri pelancongan antara sektor ekonomi yang paling teruk terjejas, menyebabkan ribuan orang hilang pekerjaan mereka. Ia dijangka antara industri terakhir yang akan pulih.
Lim berkata, permintaan untuk hartanah meningkat sejak Jun lalu dan pengambilan ejen hartanah bermula kembali.
Apabila PKP dilaksanakan, ramai guru hartanah meramalkan industri itu akan lumpuh akibat sekatan pergerakan dan kelembapan ekonomi.
“Tetapi pasaran bergerak. Pertanyaan jualan dan sewa diterima serta perjanjian jual beli dirundingkan. Saya tidak akan kata ia berkembang pesat, tetapi ia meningkat secara perlahan-lahan.”
Beliau berkata, survival sektor itu berpunca daripada langkah yang diambil kerajaan dan bank.
Katanya, langkah pertama ialah moratorium pembayaran pinjaman bank bulanan selama 6 bulan dan ke-2 ialah inisiatif diambil bank untuk membantu pemilik hartanah menyusun semula dan pembiayaan semula pinjaman mereka.
Bank membenarkan pemilih hartanah komersial melanjutkan tempoh ansuran untuk mengurangkan bayaran bulanan mereka. Mereka turut membenarkan pemilik hartanah persendirian dan komersial hanya membayar faedah pinjaman selama setahun.
Katanya, moratorium bersasar tambahan mulai September untuk mereka yang tiada pekerjaan dan gaji dipotong akan mengurangkan lagi jumlah gadai janji tidak dibayar.
“Kami tidak menjangkakan peningkatan dalam lelongan hartanah disebabkan langkah yang diambil itu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan