Kuala Berang: "Saya tidak mahu lagi mengingati pengalaman lepas dan ingin memberi fokus kepada kehidupan sekarang, sudah 20 tahun perancangan hidup tertangguh kerana berada di penjara," kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24 di sini, hari ini.
Awie sebelum ini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Maunah pada 2000.
Bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Berang itu dibebaskan awal selepas mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos lalu.
Awie berkata, dia mempunyai kemahiran menjahit dan mengukir yang dipelajari ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang dan Penjara Marang.
"Insya-Allah, sekiranya ada peralatan yang mencukupi untuk menjahit atau mengukir dan memperolehi tempahan, saya boleh meneruskan pekerjaan itu di rumah.
"Buat masa sekarang peralatan untuk menjahit dan mengukir masih tidak ada, tidak boleh lagi memulakan 'kerja' itu walaupun ada penduduk yang mahu membuat tempahan mengukir," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim hari ini.
Menurutnya, selain berhasrat untuk membabitkan diri dengan seni kemahiran itu, dia juga akan menceburi bidang penternakan.
"Saya berminat untuk menternak lembu dan boleh memulakannya secara kecil-kecilan dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya.
Bercerita mengenai perancangannya untuk berumah tangga katanya, dia memang menyimpan hasrat untuk berkahwin tetapi bukan dalam tempoh terdekat.
"Sejujurnya sebelum ditahan pada 2000, saya memang ada perancangan untuk berkahwin dengan bekas teman wanita.
"Namun perancangan itu tidak kesampaian malah bekas teman wanita juga difahamkan sudah berkeluarga dan mempunyai cucu.
"Ramai juga kenalan yang ingin menawarkan calon isteri tetapi masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai jodoh tetapi saya tidak menolak takdir sekiranya jodoh itu sampai," katanya.
Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Awie termasuk ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda.
"Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Awie.
"Semoga perkongsian daripada Awie itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda itu supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Awie dalam memulakan kehidupan yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan