Khamis, 17 September 2020

‘Bebaskan pemikiran dari cengkaman penjajah, dogma sesat’

fazleensafina

 

Hormat kedaulatan negara, hindari rasuah, tingkatkan nilai integriti

BANGI – Kemerdekaan bukan bermakna terhentinya sebuah perjuangan, sebaliknya melambangkan titik permulaan pembangunan suatu bangsa yang merdeka.

Pensyarah di Fakulti Perakaunan Universiti Teknolgi Mara (UiTM) Segamat, Prof Madya Raja Dr Adzrin Raja Ahmad berkata, nilai kemerdekaan tidak ternilai harganya kerana memungkinkan seseorang individu menikmati pembangunandan kemajuan dalam pelbagai lapangan.

“Bebaskan diri, pemikiran dan budaya daripada cengkaman penjajah serta dogma sesat.

“Jadilah jiwa yang merdeka, terus berjuang untuk mendapat nikmat kemerdekaan yang belum digapai,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Beliau berkata, Malaysia adalah bumi bertuah kerana masih dikurniakan kestabilan politik dan ekonomi.

Justeru, beliau berharap supaya semangat patriotisme dalam perjuangan pemimpinan terdahulu perlu disemai dalam hati sanubari setiap individu.

Hal ini kerana, katanya, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah atas pengorbanan, titisan darah dan air mata tokoh terdahulu.

“Jiwailah semangat merdeka. Manifestasikan semangat merdeka dengan menghormati kedaulatan negara, hindari rasuah, tingkatkan nilai integriti dalam melaksanakan sesuatu tugas.

“Bekerjasama untuk membangunkan negara ke arah lebih maju. Jadilah anak watan yang mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya.

Dr Adzrin menjelaskan bahawa negara yang merdeka memiliki perundangan yang luhur, mempamerkan kebersamaan semua rakyat pelbagai kaum dalam meniti kemakmuran, selain keamanan dan kedamaian.

“Generasi yang hadir daripada pelbagai latar belakang dan resam dapat disatukan sebagai satu bangsa bermaruah.

“Sederap kita membina bangsa. Cintai Malaysia, tanah airku yang merdeka,” katanya.

Tiada ulasan: