Kenakan hukuman penjara mandatori dan denda yang jauh lebih tinggi - itu antara langkah dicadangkan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ke atas pesalah alam sekitar.
Ia dibuat ketika berjuta-juta pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur menghadapi gangguan bekalan selepas empat lori jawatan air (LRA) terpaksa ditutup kerana berlaku pencemaran pada sumbernya.
Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kejadian membabitkan Sungai Selangor sejak 3 Sept lalu itu bukanlah yang pertama berlaku di negara ini.
Gangguan sebegitu, katanya, juga melibatkan negeri-negeri lain.
Justeru kata Muhammad Faisal, tindakan bersifat jangka panjang harus dilaksanakan sebagai penyelesaian utama bagi mengelakkan perkara sama berulang.
"Antara gesaaan yang harus dititikberatkan termasuklah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengenakan hukuman penjara mandatori kepada penjenayah alam sekitar yang degil, selain denda dengan kadar yang jauh lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gangguan tidak berjadual itu berlaku selepas Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terpaksa memberhentikan operasi empat LRA apabila berlaku pencemaran di Sungai Selangor.
Sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat membabitkan berjuta-juta orang terjejas dengan gangguan tersebut.
Hak rakyat lebih utama
Pagi ini Air Selangor memberitahu empat LRA terbabit mula beroperasi sejak malam tadi namun memerlukan masa sehingga 10 jam sebelum bekalan air boleh pulih.
Bernama pula melaporkan empat adik-beradik pemilik sebuah kilang ditahan untuk membantu siasatan ekoran insiden tersebut.
Kejadian itu turut menimbulkan desakan agar tindakan lebih tegas dikenakan ke atas pesalah kerana denda yang diperuntukkan buat masa ini dianggap masih gagal memberi pengajaran.
Menurut Abim Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) pada Feb lalu ada menyatakan komitmen untuk membentangkan pindaan akta tersebut pada tahun ini.
Namun hingga kini kata Muhammad Faisal, Abim belum nampak ada inisiatif untuk meneruskan ketetapan yang dinyatakan tersebut.
"Abim juga menggesa pindaan penting dibuat pada peruntukan berhubung kerahsiaan maklumat supaya rakyat Malaysia diberikan akses kepada maklumat lengkap berhubung syarikat dan kilang yang diberi lesen.
"Paling utama, proses konsultasi harus dibuat dengan rakyat dan penduduk setempat sebelum sebarang lesen kebenaran dikeluarkan," katanya.
Menurut Muhammad Faisal Abim menyedari pindaan yang dicadangkan itu mungkin akan menjejaskan usaha merancakkan industri dan pelaburan negara.
Pun begitu, katanya, hak rakyat dan alam sekitar adalah lebih penting untuk dipelihara.
"Abim juga menggesa kerajaan negeri dan persekutuan memperhebatkan usaha kerjasama dengan kedua-dua pihak mengambil tanggungjawab khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelakkan perkara sama berulang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan