Datuk Ibrahim Tuan Man berkata, UMNO sah akan membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia yang bermula minggu depan.
Katanya, langkah itu diyakini disebabkan UMNO tidak meletakkan calon pada kawasan itu sebagaimana yang dilakukan PAS pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.
“Saya tengok mereka macam nak tolong, Kita harapkan mungkin sebagaimana kenyataan bila mereka tidak turunkan calon, kita harap pengundi UMNO bantu undi PAS,” kata Timbalan Presiden PAS itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Kuala Lumpur, Sabtu.
Pada 3 Ogos lalu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Muhamad Hassan berkata, parti itu tidak akan meletakkan calon dan memberikan laluan kepada PAS.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, kerjasama itu diterjemahkan di atas semangat setia kawan di barisan pihak pembangkang.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan melihat kepada sentimen pengundi di Seri Setia tanpa melibatkan penglibatan orang ketiga.
Ditanya samada PAS akan mengalu-alukan kehadiran bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk berkempen di kawasan itu, beliau berkata: “Kita tidak jawab soalan kalau…biar dulu.
“Bagi kita jawatankuasa akan turun melibatkan semua pihak. Kita sambut baik semua tenaga. Dalam PAS kita ada beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh hebahkan, petugas PAS akan memahami situasi pengundi dan sensitiviti masyarakat setempat. Itu perlu diambil kira,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan PAS sudah menyenaraikan tiga nama untuk disenaraikan sebagai calon di PRK DUN Seri Setia.
“Senarai pendek dah ada cuma kita akan naik pada Majlis Syura,” katanya lagi.
Jelasnya nama calon akan diumumkan pada Rabu depan di ibu pejabat PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan