Isnin, 13 Ogos 2018

AZMIN TAK PERLU LETAK JAWATAN KALAU KALAH – RAFIZI




Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu meletakkan jawatan sebagai menteri jika kalah dalam pemilihan PKR bulan depan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang akan menentang Mohamed Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden berkata ini kerana pelantikannya sebagai menteri tiada kaitan dengan jawatan dalam parti.

Katanya, pelantikan seseorang sebagai menteri adalah melalui dua saluran, iaitu dicadangkan parti hasil rundingan dalaman dan pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas budi bicaranya.

“Saya tidak nampak apa saja keputusan dalam pemilihan PKR nanti akan menyebabkan Azmin perlu mengundurkan diri dari jawatan Kabinet.

“Saya juga tidak nampak kenapa PKR kena berkeras menyuruh Azmin meletakkan jawatan dan saya tidak rasa Perdana Menteri mengambil ketetapan meminta Azmin meletak jawatan. Ini tidak akan berlaku.

“Dr Mahathir yang melantik Azmin atas budi bicaranya (sebagai Perdana Menteri) sedangkan namanya tiada dalam senarai (cadangan) parti, mana mungkin beliau akan diminta meletakkan jawatan,” katanya kepada sebuah portal berita.

Beliau ditanya sama ada Azmin perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sekiranya kalah pada pemilihan parti itu.

Pencalonan Rafizi itu disifatkan tamparan kepada Azmin yang dilabelkan sebagai ‘orang’ Dr Mahathir.

Rafizi berkata, perlu ada pemisahan antara parti dan kerajaan supaya kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Katanya, pada pandangan beliau kerajaan dan hal parti perlu diasingkan dan ini perlu diterima dalam kerajaan Malaysia baharu ini.

“Jika tidak dipisahkan nanti timbul budaya seperti UMNO yang melantik ‘macai’ mereka dalam kerajaan selepas menang pertandingan dalam parti sedangkan orang itu tidak layak memegang jawatan, nanti rakyat akan menilai kita sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang beliau untuk menang berikutan Mohamed Azmin dilabelkan orang Dr Mahathir dan berada dalam kerajaan Rafizi berkata, persepsi itu timbul kerana pelantikan Mohamed Azmin sebagai menteri bukannya dicadangkan kepemimpinan parti.

Katanya, parti mahukan Mohamed Azmin menumpukan kepada Kerajaan Selangor tetapi beliau dipilih atas budi bicara Perdana Menteri sebagai menteri.

“Justeru, wujud persepsi yang mengaitkan beliau dengan Dr Mahathir dan perkara ini tidak boleh dielakkan untuk diperkatakan ahli akar umbi.

“Adakah itu kebaikan atau bebanan kepada Azmin? Isu ini wujud kerana persepsi saja dan ia menjadi salah satu perkara yang dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini. Ini semua soal persepsi.

Biarlah mereka yang membuat keputusan,” katanya.


Tiada ulasan: