Jumaat, 17 Ogos 2018

TIDAK PERLU PARTI BAHARU – KHALED




Pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang, sepatut bersama membantu menguatkan semula UMNO dan bukan menubuhkan parti baharu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar itu berkata, UMNO masih adalah yang terbaik, malah penubuhan parti baharu bukan jalan penyelesaian kepada semua masalah dan cabaran, terutama bagi masyarakat Melayu ketika ini.

Beliau berkata, penubuhan parti baharu juga bukan suatu perkara yang boleh dilakukan begitu sahaja, malah usaha itu akan menjadi sia-sia jika ia kurang mendapat sokongan.

“Sikit-sikit mahu tubuhkan parti baharu. Rakyat melihat semua ini dan jika sokongan terhadap parti itu tidak seberapa, akhirnya semua kerja tiada menjadi.

“Oleh itu, jika tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang, mereka patutnya sama-sama membantu menguatkan semula UMNO. UMNO masih (parti) yang terbaik,” katanya kepada NSTP, di Johor Bahru, pada Jumaat.

Datuk Dr Ibrahim Ali hari ini mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu dan yang ke-56 di Malaysia, dikenali sebagai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Parti menggunakan lambang tanjak itu membawa agenda memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO bersedia menghadapi keadaan sokongan rakyat susulan penubuhan parti baharu.

Beliau berkata, ia juga tidak akan menjejaskan perjalanan UMNO yang sedang dalam proses pemulihan.

“Kita bersedia hadapi (parti baharu),” katanya.


Tiada ulasan: