Pemandu bas RapidKL yang melanggar tujuh kenderaan sepanjang Jalan Ampang semalam di bawah pengaruh dadah, kata polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ia berdasarkan siasatan awal terhadap kes itu.
Mazlan berkata, ujian dadah yang dijalankan terhadap lelaki berusia 32 tahun itu mendapati dia positif Methamphetamine (syabu).
Polis masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rekod kes dadah sebelum ini, katanya lagi.
Pemandu bas itu dipercayai dalam keadaan panik semalam ekoran dikejar pemilik gerai burger dan sekumpulan penunggang motosikal selepas melanggar gerai burger miliknya.
Dia kemudian terus memecut dan melanggar tujuh kereta sepanjang jalan Ampang sebelum terhenti di susur masuk ke Lebuhraya MRR2.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, dia dibelasah teruk dan dibawa ke Hospital Ampang.
Difahamkan dia dibenarkan keluar daripada hospital itu pada pukul 1.30 tengah hari tadi, namun ketika laporan ini ditulis, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya memaklumkan suspek sedang diambil keterangan di balai polis trafik.
Ketika ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyerang suspek, Mazlan berkata bergantung sama ada pemandu bas itu untuk membuat laporan atau tidak.
"Jika dia buat laporan, kita akan siasat," katanya ketika ditemui di sebuah acara di Kuala Lumpur hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan