Khamis, 16 Ogos 2018

Siasat Projek PR1MA RM8 bilion


Siasat Projek PR1MA RM8 bilion
 
 
SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu menjalankan siasatan sama ada terdapat unsur-unsur rasuah oleh kerajaan sebelum ini dalam projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)  yang dilihat gagal dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semasa PRU13 melalui manifesto BN, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membina sejuta rumah mampu milik, termasuk 500,000 unit rumah PR1MA. Dan menjelang PRU14, beliau mengumumkan kerajaan telah mencapai sasaran membina sejuta rumah mampu milik.

Poay Tiong mendakwa, Najib sekali lagi menipu rakyat berkenaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menyebabkan pembaziran sebanyak RM8 bilion.

[ARTIKEL BERKAITAN: PR1MA rumah untuk golongan pertengahan]

“Hakikatnya, projek PR1MA terbengkalai dan saya boleh mengesahkan bahawa kontraktor menghadapi masalah kerana tidak menerima bayaran daripada kerajaan sebelum ini.

“Perkara ini amat mengejutkan kerana ia menunjukkan satu lagi masalah dan skandal besar yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini. Pihak pembangkang harus mencerminkan diri sendiri kerana mereka telah gagal untuk menepati manifesto yang mereka janjikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih separuh rumah PR1MA dijual]

Katanya, isu perumahan adalah salah satu perkara penting yang dihadapi oleh rakyat dan berkait rapat dengan kesejahteraan dan keharmonian hidup mereka. Oleh itu, kementerian dan Kerajaan PH juga mesti mengorak strategi dan dasar baru untuk menghadapi isu ini,

Beliau menyarankan kementerian perlu menjalankan penyiasatan lanjut mengenai skandal projek PR1MA ini dan memberi maklumat terperinci kepada rakyat dalam masa terdekat.

Semalam, semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membuat pendedahan mengenai projek PR1MA.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM8 billion untuk projek PR1MA sejak dimulakan pada 2013, tetapi hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah PR1MA sahaja yang telah dibina setakat ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 35,000 unit rumah PR1MA]

Tiada ulasan: