Khamis, 23 Ogos 2018

Shafie: Sabah berhak dapat 20 peratus royalti minyak

MALAYSIAKINI

   

Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal bertegas bahawa di bawah perlembagaan, Sabah berhak mendapat 40 peratus hasil kutipan cukai dan 20 peratus royalti pengeluaran minyak negeri.

Shafie dilaporkan The Malaysian Insight akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan tuntutan berkenaan.

"Tuntutan perkongsian hasil 40 peratus perlu menjadi kenyataan.

"Kerajaan persekutuan mengutip banyak cukai dan levi dari Sabah tetapi kami tidak pernah merungut. Kami tidak kisah kekayaan kami dikongsikan bersama negeri-negeri lain.

"Tetapi kami hanya menuntut 40 peratus daripada apa yang telah diambil daripada kami," kata Shafie dipetik laporan The Malaysian Insight.

Shafie juga berkata pemberian 20 peratus royalti daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak merupakan "tuntutan yang adil" kerana Sabah menyumbang kepada hampir separuh daripada jumlah pengeluaran gas dan minyak negara.

Menurut Shafie, Sabah menerima hanya RM7 bilion royalti minyak pada 2013 walaupun Putrajaya mendapat RM32 bilion daripada Petronas pada tahun yang sama.

Jumlah sama 44 tahun

Beliau juga menjelaskan mengenai hasil levi dan cukai yang dibayar kerajaan persekutuan kepada negeri itu selama 44 tahun masih sama iaitu RM23 juta setahun tanpa mengambil kira kenaikan harga minyak global.

Perkara 112C dan D, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semakan hasil cukai yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak perlu dibuat setiap lima tahun sekali, tertakhluk kepada kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan negeri.

Presiden WARISAN juga berkata negeri itu sangat memerlukan dana pembangunan dan mahu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah supaya mereka tidak meninggalkan negeri itu untuk mencari nafkah.

Shafie juga dilaporkan berkata telah bertemu dengan Presiden Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin baru-baru ini tetapi enggan memberikan butiran terperinci mesyuarat itu.

Sebelum ini, Azmin memberitahu parlimen bahawa Petronas boleh muflis jika royalti 20 peratus dibayar berdasarkan jumlah pengeluaran keseluruhan dan bukannya jumlah untung bersih.

Setuju batal TSGP, diteruskan jika kewangan pulih

Manakala itu, Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna bersetuju dengan keputusan Putrajaya membatalkan projek saluran gas Sabah (TSGP) di bawah syarikat Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Menurutnya ini kerana keadaan kewangan negara sedang menanggung beban hutang yang besar.
Namun, beliau tidak menolak jika projek ini diteruskan seandainya keadaan kewangan negara pulih.

Ketika lawatan rasmi ke China, Mahathir mengumumkan pembatalan projek saluran gas bernilai RM4.96 bilion dan beliau mengkritik pentadbiran BN terdahulu kerana bersetuju dengan perjanjian yang mana wang dibayar berdasarkan tempoh masa dan bukannya perkembangan kerja yang disiapkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini mendedahkan hanya 13 peratus projek tersebut yang telah disiapkan walaupun 88 peratus bayaran, atau RM3.5 bilion telah dibayar kepada firma kontraktor China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).


Tiada ulasan: