Isnin, 13 Ogos 2018

Saya tidak akan kompromi cegah judi haram – Mohamad Fuzi

Kumara Sabapatty
MGF13082018_KPN-FUZI-RASMI-KURSUS-BI08-681x454
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kursus Komunikasi Profesional Inggeris Polis Diraja Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Tindakan serta-merta akan diambil ke atas pegawai polis yang bertanggungjawab sekiranya sebarang kegiatan atau aktiviti judi haram dikesan masih beroperasi selepas ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang memberi amaran itu berkata, beliau akan turun secara mengejut untuk memastikan operasi judi haram dikuburkan sepenuhnya.

“Arahan spesifik sudah diberi bukan hanya kepada pengarah tetapi juga ketua polis di setiap daerah sejak dahulu lagi..Kalau saya terkesan ia masih operasi (judi haram), akan bertindak serta-merta.

“Polis sangat serius dalam membanteras judi haram dan kami tidak akan bertolak ansur dalam hal ini.

“Saya akan turun mengejut jika ada kegiatan judi haram dikesan di sesebuah daerah dan tindakan akan menyusul serta-merta.

“Sekiranya terkesan dan mana-mana pegawai gagal bertindak akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau mengakui beberapa pegawai polis peringkat daerah telah diambil tindakan dalam perkara tersebut.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pembukaan Kursus Komunikasi Profesional untuk pegawai kanan Polis di Maktab PDRM Cheras, di sini sebagai usaha mempertingkat penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam rutin tugasan harian PDRM.

Dalam isu judi haram, beliau turut diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bahawa talian Hotline pengaduan judi haram di ibu kota dingin sejak dilancarkan pada Julai lepas.

Mohamd Fuzi mengakui banyak isu dan aduan mengenai kegiatan judi haram dilaporkan di Lembah Klang.

“Kita bukan sekadar aktifkan talian hotline aduan aktiviti judi haram di ibu negara sahaja, malah di seluruh negara.

“Minggu lalu kita menerima 173 aduan dan maklumat mengenai kegiatan judi haram di seluruh negara.

“Bagaimanapun usaha berterusan yang sedang dikuatkuasakan, polis diharap membawa impak yang diharapkan dan kami tidak akan berkompromi walaupun kesilapan dikesan dalam unit pasukan polis sendiri dalam soal mencegah judi haram ini,” tegasnya.


Tiada ulasan: