Ia susulan Presiden MCA Liow Tiong Lai tidak mahu
menggunakan logo BN sebagai sebahagian 'pembaharuan dalaman' parti itu
selepas prestasi lemah pada PRU14.
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti dalam BN perlu diperkasakan.
“Kalau dia nak bertanding atas tiket MCA di Balakong, nak cuba, nak ‘test market’, kita tak ada halangan.
“Saya juga hari itu mencadangkan Umno menggunakan lambang Umno di Sungai Kandis, tapi kita ada pula pandangan-pandangan lain, jadi kita gunakan BN,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berkata MCA tidak akan menggunakan logo “dacing” BN pada PRK Balakong sebagai sebahagian “pembaharuan dalaman” susulan prestasi lemah pada PRU14.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Liow pernah mendedahkan hasrat parti itu kepadanya, tetapi ianya secara tidak rasmi.
Beliau menambah, Liow perlu membawa hasrat MCA itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang akan dipengerusikan olehnya pada Isnin depan.
“Kita akan adakan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Isnin dan kita akan bincang di peringkat BN mengenai hasrat MCA untuk guna logo sendiri bertanding di Balakong,” katanya.
Kerusi majoriti pengundi Cina di bawah Parlimen Bangi itu kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.
Pada PRU14 lalu, calon MCA, Lim Chin Wah hanya mendapat 10.9% atau 5,874 undi, manakala calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali meraih 11.6% undi. Mereka kalah kepada Ng yang mendapat 41,768 undi.
Hari penamaan calon PRK Balakong ditetapkan pada 18 Ogos ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan