Jumaat, 3 Ogos 2018

Polis Raub rampas dadah bernilai RM 100,000


Polis Raub rampas dadah bernilai RM 100,000
Wan Mohd Zahari (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan heroin bernilai RM100,000 yang dirampas pada sidang media di IPD Raub, hari ini.
 
 
RAUB - Polis berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah di daerah ini selepas merampas dadah dipercayai heroin seberat 487.32 gram dianggarkan bernilai RM 100,000,  di Laman Pesona Resort Cheroh Raub di sini, Rabu lalu

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun dan dua wanita berumur 54 tahun dan 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, bertindak hasil risikan dan intipan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Raub menahan sebuah kereta Jenis Proton Saga yang mencurigakan di kawasan parkir kereta di Laman Pesona Resort.

“Pasukan polis telah mengarahkan suspek keluar daripada kereta tersebut dan membuat pemeriksaan ke atas badan suspek dan tidak menjumpai  dadah.

"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan di dalam kereta, polis menjumpai beg silang hitam dan menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan berwarna coklat gelap disyaki dadah jenis heroin seberat 454.94 gram.

"Kita turut menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 12.86 dan tiga keping foil warna merak dan perak berisi 30 biji pil disyaki dadah jenis erimin 5 seberat 8.43," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Wan Zahari berkata, pihaknya turut menemui satu paket plastik berisi ketulan mampat daun kekeringan berwarna kehijauan disyaki dadah jenis ganja seberat  11.09 gram.

Tambahnya, polis turut merampas wang tunai serta alat untuk memproses dadah seperti gunting dan bekas tin aluminium.

Wan Mohd Zahari memberitahu, hasil siasatan awal mendapati  dadah yang dirampas adalah milik suspek lelaki.

Menurutnya, hasil ujian urin mendapati suspek lelaki dan seorang wanita yang berusia 47 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan morphine.

"Suspek lelaki mempunyai empat rekod rekod jenayah lampau di mana kesemuanya berkaitan dengan dadah dan seorang wanita yang berumur 54 turut mempunyai satu rekod jenayah

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di tahan reman untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,”katanya.

Tiada ulasan: