Selasa, 7 Ogos 2018

PKR MAHU ANWAR MAIN PERANAN DALAM PH – AZMIN



Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menzahirkan kegembiraan dengan kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi presiden baharu PKR.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, kemenangan tanpa bertanding membuktikan Ketua Umum PKR itu mendapat sokongan tanpa berbelah bahagi untuk memimpin parti.

Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan, ahli parti kini mahu melihat Anwar diberi peranan penting sebagai pemimpin parti yang memiliki blok terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

“Alhamdullillah, saya gembirá kerana beliau sekarang mendapat sokongan dan dokongan tanpa berbelah bahagi untuk memimpin parti dan ini terbukti daripada pencalonan semalam, tiada pencalonan lain selain daripada Anwar.

“Ini membuktikan ahli parti ingin melihat Anwar diberikan peranan penting dalam memimpin parti sebagai sebuah blok terbesar dalam Pakatan Harapan hari ini dan sudah tentu kepimpinan beliau amat penting untuk dimanfaatkan oleh PKR dan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau diminta mengulas kemenangan Anwar sekali gus mengambil alih jawatan tersebut dari isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Anwar menang tanpa bertanding bagi menerajui parti yang diasaskan pada 1998.

Sebelum ini wujud spekulasi Mohamed Azmin bakal mencabar Anwar.

Ditanya sama ada Anwar memberi restu kepada beliau untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, Mohamed enggan memberi jawapan.

Sebaliknya beliau memberitahu baharu menghantar borang pencalonan semalam dan masih ada tempoh selama tiga hari untuk membuat bantahan.

Mengenai saingan sengit daripada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli parti untuk membuat keputusan.


Tiada ulasan: