Selasa, 7 Ogos 2018

'Setiap MP PKR sedia lepas kerusi untuk Anwar'

 
   

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya sedia untuk bertanding di mana saja kerusi Parlimen untuk kembali ke Parlimen.

Dan mana-mana anggota parlimen PKR juga sedia untuk melepaskan kerusi kepada presiden parti yang baru itu, katanya lagi.

"Anwar bukan saja sudah sedia untuk kembali ke parlimen, tetapi rakyat Malaysia juga sedia untuk melihatnya kembali sebagai pemimpin di persada politik tanah air.

"Banyak kerusi yang ada untuk Anwar...Seperti yang disebut anggota parlimen Selayang (William Leong), mana-mana anggota parlimen PKR sedia (melepaskan kerusi)," katanya.

Namun pada masa sama Fahmi berkata mereka tetap mengutamakan tanggungjawab kepada pengundi di parlimen masing-masing kerana mereka bukan saja berkhidmat untuk parti tetapi kepada rakyat.

Sehingga kini teka-teki kerusi parlimen mana yang akan dikosongkan untuk Anwar masih berlegar.

Dua anggota keluarganya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) dan Nurul Izzah (Permatang Pauh) dilaporkan berkata tidak akan mengosongkan kerusi mereka.

Susulan itu, Leong berkata beliau sudi melepaskan kerusi parlimen Selayang yang sudah dipegangnya sejak 2008.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga anggota parlimen Lembah Pantai turut menyebut kerusi parlimen Pekan yang dipegang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu kawasan potensi untuk Anwar.

"Banyak tempat yang ada, parlimen Lembah Pantai, Selayang dan Setiawangsa, Pekan pun ada," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui pimpinan PKR belum membincangkan kerusi yang bakal ditandingi Anwar.

"Tapi kita tengok apa yang berlaku dengan Pekan. Banyak yang mungkin berlaku dalam bulan-bulan mendatang, banyak kes sekarang dibawa ke mahkamah," katanya.

Beliau merujuk empat pertuduhan yang dihadapkan kepada Najib, iaitu tiga untuk pecah amanah dan satu untuk salah guna kuasa.

Malah esok beliau akan dihadapkan dengan tiga lagi pertuduhan bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


Tiada ulasan: