Isnin, 13 Ogos 2018

Pengeluaran getah asli Jun meningkat

Wartawan MalaysiaGazette

getah


KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli pada Jun 2018 meningkat 16.3 peratus kepada 41,578 tan metrik berbanding Mei 2018 iaitu 35,761 tan metrik.

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran menurun 17.9 peratus.

Harga purata Lateks Pekat yang direkodkan ialah 439.83 sen sekilogram manakala harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M 20) ialah 545.20 sen sekilogram, masing-masing turun sebanyak 9.7 peratus dan 2.8 peratus berbanding dengan harga purata pada Mei 2018.

Menurut Jabatan Perangkaan, eksport getah asli berjumlah 52,395 tan metrik, merosot 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Destinasi utama eksport getah asli ialah China, Jerman, Iran, Turki dan Amerika Syarikat.

Penggunaan domestik getah asli pada Jun 2018 pula susut 7.3 peratus kepada 40,830 tan metrik.

Menurut Jabatan Perangkaan, industri sarung tangan getah menggunakan sebanyak 31,391 tan metrik atau 76.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik getah asli.

Stok getah asli yang direkodkan ialah 196,410 tan metrik, menurun 9.2 peratus berbanding 216,217 tan metrik pada akhir Mei 2018. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: