Sabtu, 18 Ogos 2018

Pas, UMNO main isu PH gagal tunai janji

Manzaidi Mohd Amin

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri (dua kiri) berbual bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga kiri) ketika hadir memberi sokongan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri (dua kiri) berbual bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga kiri) ketika hadir memberi sokongan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

PETALING JAYA – Pas akan ketengahkan dua isu besar berkaitan pentadbiran kerajaan Pakatan harapan (PH) di peringkat pusat dan Selangor, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, antara isu itu ialah berkaitan kegagalan kerajaan PH menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari sebagaimana digula-gulakan kepada rakyat sehingga parti itu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Katanya, bagi peringkat negeri pula, Pas melihat perlunya suara pembangkang bertambah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk mengimbangi pentadbiran negeri.

“Kita hanya ada lima pembangkang di Selangor dan saya fikir perlu ditambah suara itu bagi semak dan imbang kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas hari penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pas, Dr Halimah Ali dengan calon PH dari PKR, Halimey Abu Bakar.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan pasukannya dari tiga sayap parti hadir untuk memberi sokongan kepada Pas dalam menghadapi PRK ini.

“UMNO telah menunjukkan kesungguhan mereka sejak pada hari pengumuman calon lagi, Ketua UMNO Bahagian turun, team dari Majlis Tertinggi (MT) pun turun.

“Kita menghadapi PRK ini dalam satu team yang kuat bagi memenangkan calon Pas, dan ini satu permulaan yang baik dalam konteks kerjasama politik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, kalau Pas menang di DUN Seri Setia, parti itu boleh menambahkan kerusi pembangkang dalam DUN Selangor
Katanya, Pas menurunkan calon yang bukan sembarangan, iaitu Dr Halimah yang mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat dan pernah menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: