Jumaat, 3 Ogos 2018

Pas alu-alukan hasrat BN


Pas alu-alukan hasrat BN
Dr Ahmad Yunus (tengah) bersama pemimpin Umno yang turut bersetuju memberi ruang kepada Pas untuk menghantar calon.
 
 
KOTA RAJA - Pas Selangor mengalu-alukan hasrat Umno yang  tidak meletakkan calon dalam PRK Dun Seri Setia susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu dengan lebih lanjut melibatkan kepimpinan pusat dan negeri selepas ini demi pembangunan kekuatan Melayu dan Islam.

"Ini (kerjasama) akan beri gambaran baik kepada masyarakat negara ini demi kekuatan Melayu dan Islam.

"Lagi pun, kita lihat beberapa perkara menjengkelkan menerusi kenyataan dan ucapan pimpinan kompenan PH," katanya selepas menunaikan solat di Masjid Al Naim Jalan Kebun hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pagi tadi memaklumkan parti itu memberi laluan kepada Pas untuk meletakkan calon di kerusi Dun Seri Setia dalam PRK akan datang.

Mohamad berkata, keputusan itu dibuat sebagai membalas budi Pas di PRK Dun Sungai Kandis.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pengumuman Mohamad itu merupakan satu perkembangan positif dalam hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menghadapi PH.

Beliau berkata, suara pembangkang perlu dikuatkan di Selangor agar proses semak dan imbang dapat berjalan dengan sempurna.

"Kita kena kuatkan suara pembangkang untuk pastikan proses semak dan imbang jadi sesuatu yang baik bagi memastikan PH tidak salah guna kuasa," katanya.

Tiada ulasan: