Jumaat, 3 Ogos 2018

Mengharap magis di Sungai Kandis


Transformasi dan pemilihan Umno
Mujibu Abd Muis
 
 
TINGGAL dua hari lagi menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis. Setelah hampir dua minggu berkempen berlangsung, PRK kelihatan agak suram berbanding kempen-kempen PRK yang lain sebelum PRU14. Kesuraman ini barangkali disebabkan penat ketika PRU14 masih belum lagi hilang.

Tambahan pula, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum habis pantang 100 hari mentadbir dan melunaskan janji. Manakala dipihak lawan pula, Umno masih sibuk melakukan housekeeping dalam parti dalam suasana berkabung selepas tidak lagi menjadi pemerintah.

Barangkali PRK Sungai Kandis ini muncul ketika semua pihak tidak bersedia untuk sebarang pilihan raya, baik kerajaan mahupun pembangkang. Ironinya, dalam ianya mahu dielakkan, bukan sahaja PRK Sungai Kandis yang terpaksa dihadapi, tetapi PRK Balakong pula yang menanti selepas ini.

Namun secara peribadi, PRK Sungai Kandis ini lebih menarik diperhatikan berbanding Balakong atas beberapa faktor; demografi, isu dan masa.

Demografi Sungai Kandis lebih mirip menggambarkan keadaan Malaysia. Komposisi pengundi mengikut kaum membentuk pengundi Melayu sekitar 55% dan bukan Melayu 45% daripada jumlah 51,230 pengundi berdaftar. Dengan kelompok pengundi muda berumur 21-39 tahun membentuk 48.12% (24,651) mendominasi kelompok umur yang lain dan  kawasan geografinya yang bersifat urban dan sub-urban, Sungai Kandis benar-benar menepati replika Malaysia dalam erti kata lainnya.

Dalam masa yang sama isu-isu yang melatari PRK Sungai Kandis ini seolah-olah ‘fit to the scene’ dengan majoriti pengundi Melayu-Islam yang dihidangkan dengan isu-isu seperti pelantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Isu Pengiktirafan UEC, polemik perkauman ‘Melayu pendatang’ oleh menteri kerajaan PH dan sebagainya sudah tentu menghangatkan lagi suhu bukan sahaja untuk PRK Sungai Kandis, malah politik Malaysia semasa.

Yang paling penting, ketika PRK ini berlaku, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mengadakan pemilihan parti pada hujung bulan ini. Sudah tentu pemimpin PKR yang bakal berentap untuk setiap jawatan parti akan menggunakan sepenuhnya PRK ini bukan sahaja berkempen untuk membantu parti, malah berkempen untuk diri sendiri dan kem masing-masing.

Lihat sajalah ketika penamaan calon. Cakap-cakap awal mengatakan bahawa calon PKR, Zawawi Mughi bukan favorite kepada kem Azmin Ali dan Pengarah PRK Sungai Kandis, Amirudin Shari bagi mengantikan bekas orang kuatnya di Sungai Kandis, namun ia berjaya diselesaikan (dineutralkan) pada ketika itu menerusi percaturan dan campur tangan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Namun sepanjang kempen, hampir semua pimpinan tertinggi PRK, termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim, turun atau bakal turun berkempen bagi mengekalkan kerusi tersebut. Walaupun kerusi Dun Sungai Kandis tidak menjejaskan kedudukan semasa kerajaan PKR di Selangor dan di atas kertas, memang ramai sudah menjangkakan PKR akan memenanginya dengan mudah, maka sudah tentu kehadiran tunjuk muka tokoh-tokoh ini boleh diduga sebabnya mengapa.

Tambahan pula, dengan andaian bahawa akan berlaku proses transisi kuasa dari Tun Dr Mahathir kepada Anwar nanti, sudah tentu jawatan tertinggi parti akan menjadi satu tiket untuk menjadi sebahagian daripada barisan kepemimpinan kerajaan transisi yang baharu itu nanti.

Di sebalik ramalan PKR bakal menang selesa, perkara yang turut menarik diperhatikan ialah kesediaan BN meletakkan calon bagi merampas kerusi tersebut walaupun tindakan itu kelihatan seperti terpaksa dan ragu-ragu.
Apabila BN meletakkan Datuk Lokman Nor Adam, secara peribadi melihat ini barangkali kerana beliau adalah antara pengasas PKR ketika tahun 1999 yang mana, ketika awal penubuhan PKR, ia memang sinonim dengan kawasan Jalan Kebun dan Sri Andalas yang berada di kawasan Sungai Kandis. Dalam masa yang sama, kemahiran berpidato dan pengalaman beliau sudah tentu dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang berkempen melawan PKR.

Dengan isu-isu Melayu-Islam menjadi modal berkempen, Umno sebenarnya meletakkan calon yang sesuai walaupun di peringkat awal ramai yang mempertikaikan pemilihan beliau atas faktor bukan anak tempatan.

BN juga mengharap magis berlaku setelah pelawaan untuk bekerjasama secara tidak langsung bersama Pas ditolak mentah-mentah. Pas kelihatan realistik dan bijak untuk tidak melibatkan diri dalam PRK kali ini. Perkiraan bahawa persaingan tiga penjuru bakal merugikan Pas sepertimana PRU14 yang lalu dan sedar bahawa Sungai Kandis merupakan kubu kuat PKR, memilih untuk berkecuali dilihat pilihan yang paling baik.

Dalam masa yang sama, Pas memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli untuk mengundi mengikut pilihan masing-masing yang menjadikan undi ahli Pas amat berharga dan menjadi rebutan calon-calon bertanding. Dengan Pas hanya mempunyai satu kerusi sahaja dalam Dun Selangor, barangkali kekalahan Pas dalam satu lagi PRK mungkin akan menjejaskan lagi moral Pas Selangor.

Waima apa pun, sekira wujud blok pakatan tidak rasmi BN-Pas dalam PRK Sungai Kandis ini, peluang untuk pakatan itu memenangi PRK Sungai Kandis tetap tipis. BN-Pas masih tidak mampu menjadi alternatif kepada PH sekiranya BN masih terus menggunakan modal perkauman dan Pas tidak mahu berubah.

Dengan kemarahan rakyat terhadap kesombongan dan kegagalan BN menangani masalah ekonomi ketika memerintah dan kedegilan Pas untuk terus mengekalkan prinsip, maka hanya magis sahajalah yang mungkin diharapkan dalam situasi sekarang.

Jadi benarlah, di Sungai Kandis kali ini, masing-masing mengharapkan magis untuk berlaku, baik PKR, BN mahupun Pas. Cuma barangkali bentuk magis itu sahaja yang berlainan bagi setiap pihak yang berharap akan ketibaannya. 
 
* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tiada ulasan: