Ahad, 5 Ogos 2018

Nik Abduh gesa royalti 5 peratus diberi bermula Ogos ini



Nik Abduh gesa royalti 5 peratus diberi bermula Ogos ini



Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembayaran royalti 5 peratus berdasarkan pengeluaran mengikut jadual bermula Ogos ini.

Katanya, ini bagi menepati perjanjian asal yang termaktub antara Kerajaan-Kerajaan Negeri Pengeluar dengan Kerajaan Persekutuan itu sendiri yang merujuk kepada Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Azmin tidak secara langsung menjawab persoalan saya mengenai pembayaran royalti pada Ogos depan, alasan beliau untuk mendahulukan rundingan 20 peratus berdasarkan keuntungan tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian asal tersebut.

“Perbahasan tentang cadangan baru iaitu pemberian 20 peratus royalti berasaskan keuntungan masih panjang dan melibatkan proses perbincangan yang kompleks.

“Ia melibatkan pelbagai golongan berkepentingan, malah dalam kedudukan semasa, cadangan tersebut kelihatan mustahil untuk diteruskan,” kata Ahli Parlimen Bachok itu dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya menggesa Kerajaan Persekutuan meneruskan pembayaran royalti pada Februari dan Ogos setiap tahun supaya ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat negeri-negeri berkenaan

Tiada ulasan: