Jumaat, 24 Ogos 2018

Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis: KPN



Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis: KPN
Foto Musa yang tular di media sosial sejak minggu lalu.
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya gagal mendapatkan perintah tahanan reman daripada Majistret Petaling Jaya.

“Kertas siasatan berkaitan kes ini dijangka akan dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke pejabat timbalan pendakwa raya pada 27 Ogos ini.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan ke atas Musa dijalankan dengan telus dan adil, mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PDRM menahan Musa semalam untuk membantu siasatan ke atas dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman di Hospital Subang Jaya dikawal ketat]

Musa yang sebelum ini dilaporkan mendapat rawatan di London, pulang ke tanah air selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 6.45 petang, pada 21  Ogos, dari Seletar, Singapura.

Musa, yang juga Adun Sungai Sibuga, dilaporkan meninggalkan negara ini ke London pada 16 Mei untuk menjalani rawatan perubatan di London.

Beliau kini dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.

Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menyogok Adun.

Tiada ulasan: