MCA hari ini menempelak kerajaan Pakatan Harapan yang memutuskan untuk tidak menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi sebaliknya akan meneruskannya di bawah seliaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu hantaran di Facebook berkata, PKR dan DAP selama ini mahu AES dihapuskan kerana berpendapat sistem itu kejam dan menjadi alat oleh kerajaan BN.
"Oleh itu saya terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan mahu meneruskan sistem AES malah berkata tiada lagi diskaun terhadap saman AES seperti yang dilakukan kerajaan BN. Bukankah ini lebih kejam?
"Lim Guan Eng juga terkenal kerana melarang AES dipasang di Pulau Pinang dan mendesak sistem itu dihapuskan dan menuntut semua denda yang telah dibayar dipulangkan," kata Wee.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini yang mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membatalkan 3.1 juta saman AES yang belum berbayar.
Mengulas lanjut, Wee berkata, jika kerajaan HARAPAN berhasrat membatalkan saman AES mereka perlu adil dengan memulangkan semula bayaran denda yang telah dilunaskan oleh pesalah AES yang lain sejak 2012.
Menurut Loke, pembatalan itu dilakukan selepas kontrak syarikat pengendali sistem AES yang akan tamat pada 31 Ogos ini tidak disambung kerajaan.
Bagaimanapun operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh JPJ mulai 1 September depan.
Malah, kata Loke, penguatkuasaan akan dilakukan dengan tegas tanpa sebarang diskaun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan