Khamis, 2 Ogos 2018

Malaysia akan bawa pulang jenazah mangsa bunuh di Afghanistan

Wartawan MalaysiaGazette

Wisma Putra
Wisma Putra


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Afghanistan untuk membawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang dibunuh di negara itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, mangsa yang bekerja di Kabul telah diculik bersama dua orang warga asing pada awal minggu ini.

“Mayat mereka ditemui di Mussahi (yang terletak 33 kilometer ke selatan kabul) pada 2 Ogos 2018,” kata Wisma Putra yang mengesahkan insiden tersebut.

Agensi berita, Reuters hari ini melaporkan anggota militan telah menculik dan membunuh tiga warga asing yang bekerja untuk sebuah syarikat makanan antarabangsa di ibu negara Afghanistan, Kabul.

Seorang diplomat kanan di Kabul berkata, mereka bekerja untuk syarikat perkhidmatan makanan dan katering kedua terbesar dunia, Sodexo.

“Seorang warga India, seorang warga Malaysia dan seorang warga Macedonia telah diculik dan dibunuh. Kami telah menemui mayat mereka,” kata jurucakap ketua polis Kabul, Hashmat Stanekzai kepada Reuters.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: