Khamis, 2 Ogos 2018

Kronisme, nepotisme dalam PKR, Zawawi tidak berpijak di bumi nyata

Manzaidi Mohd Amin
Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam (tengah) bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OGOS 2018
Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam (tengah) bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

SHAH ALAM – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni perlu berpijak di bumi nyata apabila ada daripada ahli parti itu mendakwa berlaku amalan kronisme dan nepotisme dalam pemilihan parti dan pentadbiran kerajaan.

Pesaingnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata, amalan itu tidak dapat dipisahkan dari PKR dan Pakatan Harapan (PH) amnya berdasarkan apa yang berlaku di depan mata rakyat dan dunia ketika ini.

Ujar beliau, macam mana Pengetua Pusat Maahad Tahfiz Al-Fateh, Jalan Kebun itu masih tidak mahu menerima hakikat tersebut, sedangkan ia berlaku secara jelas dan nyata.

“Ustaz Zawawi ini tak berpijak di bumi yang nyata. Macam mana dia nak selesaikan masalah kronisme dan nepotisme apabila dalam keadaan hari ini, satu dunia pun tahu Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah bapa kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada dalam Parlimen, anak dia (Nurul Izzah Anwar) pun ada dalam Parlimen. Begitu juga, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) yang bapanya (Lim Kit Siang) juga Ahli Parlimen, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mempunyai adik (Ramkarpal Singh) di Parlimen.

“Kalau nak dikira soal nepotisme, saya rasa dunia tahu bahawa Pakatan Harapanlah juaranya,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mohd Zawawi yang mempersoalkan dakwaan wujud unsur kronisme dan nepotisme di dalam parti itu dan mahu ia dibuktikan terlebih dahulu bagi mengelak wujud persepsi tidak baik terhadap PKR dan PH.

Menurut Lokman, kronisme dan nepotisme dalam PH bukan persepsi, sebaliknya ia adalah benar berlaku sebagaimana satu persatu ketua syarikat milik kerajaan (GLC) diarah untuk berhenti dan siapa pula yang menggantikannya.

“Hari ini saya boleh anggap 85 hari pakatan memerintah, apa yang mereka buat? Mereka membuat majlis memperkenalkan kroni. Sekarang baru kita tahu siapa kroni Tun Dr Mahathir dan siapa kroni Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Inilah yang sedang berlaku. Kita tengok, siapa dilantik Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, kroni Anwar, yang juga peguamnya, Sankara Narayanan Nair.

“Siapa yang diamanahkan jaga Mara, peguam Anwar juga, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah,” katanya.

Tambah beliau, adakah Mohd Zawawi masih bermimpi di siang hari dengan menganggap partinya yang menjadi komponen PH bersih dari amalan kronisme dan nepotisme, sedangkan terang-terangan mereka melanggar janji sendiri.

“Kalau PKR dan PH bersih, saya nak tanya ustaz Zawawi, Tun Dr Mahathir tu bukan ahli politikkah, Mohamed Azmin tu bukan ahli politikkah? Kalau bukan, kenapa dia diletakkan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad?” soal beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: