Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, dalam tempoh 100 hari, kerajaan PH hanya berjaya menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sahaja.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, bagi sembilan lagi janjinya mungkin tidak boleh dilaksanakan kerana berdepan dengan masalah besar kewangan negara seperti mahu menghapuskan tol di seluruh negara.
“Harga minyak yang berada di paras rendah sekarang seperti yang dicadangkan itu, nampaknya tidak mungkin boleh dilakukan.
“Begitu juga cadangan lain seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nak ubah jadi biasiswa.
“Pendek kata semualah tak dapat buat, cuma GST dimansuhkan dan digantikan pula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyebabkan kerajaan akan kehilangan hasil berbanding GST,” katanya kepada media selepas meninjau pembinaan masjid baru di bandar Gua Musang hari ini.
Menurutnya, kerajaan PH diharap berjaya menghadapi krisis ekonomi yang mungkin timbul seperti yang pernah berlaku di negara lain termasuk Eropah.
“Nilai Ringgit pun jatuh teruk berbanding dolar Amerika. Kita harap tidak berlaku (krisis ekonomi) di negara ini kerana timbunan hutang yang besar.
“Jadi sama ada kerajaan kita mampu menghadapi krisis terserahlah kepada kerajaan baharu itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan