Isnin, 13 Ogos 2018

Kasari kanak-kanak tadika: 2 guru ditahan

MALAYSIAKINI

   

Dua guru berusia 21 dan 40 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan kes kekasaran terhadap kanak-kanak jagaan mereka di sebuah tadika di Ayer Keroh, Melaka.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka,Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, lapor Sinar Harian.

“Tangkapan itu dilakukan sejurus pengurus tadika yang berusia 40 tahun membuat laporan polis pada 11 Ogos lalu selepas menerima video tersebut yang dipercayai dirakamkan dan disebarkan oleh seorang pekerja yang sudah berhenti kerja dari tadika berkenaan 1 Ogos lalu.

“Pengadu percaya kejadian ini berlaku dalam masa dua minggu lalu dan terkilan dengan tindakan pekerjanya yang mengasari anak didik selain tindakan pekerja yang merakam dan menyebarkan tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, dua video berkaitan tular dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Ia antaranya memaparkan bagaimana guru mengasari kanak-kanak itu, termasuk menamparnya dan menolaknya di muka sehingga jatuh daripada kerusi.

Video sepanjang 0.37 saat dan 2.12 minit itu mula tersebar sejak minggu lalu.

 Sementara itu, Mohd Nor Yhazid dilapor berkata siasatan masih dijalankan bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Ehwal Kebajikan, Ginnie Lim Siew Lin berkata akan bertemu pihak tadika itu hari ini bagi mendapatkan penjelasan.


Tiada ulasan: