Gerakan Anak Muda tolak Najib (GANT1) yang dikaitkan dengan Pemuda Pakatan Harapan hari ini menarik semula semua rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung saman yang difailkan mereka terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan kerajaan.
GANT1 memfailkan saman terhadap ketiga-tiga pihak ini pada tahun lalu dengan tujuan menghentikan bayaran 1MDB kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) yang menjadi sebahagian daripada penyelesaian yang dicapai di Mahkamah Timbang Tara London.
GANT1 memohon mahkamah mengisytiharkan penyelesaian dengan IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS (Abu Dhabi) pada 11 Mei tahun lepas, sebagai terbatal dan tidak sah.
Kumpulan itu juga mahukan butiran pembayaran 1MDB kepada IPIC dan Aabar Investments PJS (Abu Dhabi) didedahkan.
Saman itu juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa jika Najib, 1MDB dan kerajaan didapati bertanggungjawab untuk membayar lebih kepada IPIC, maka jumlah lebihan pembayaran itu harus dikembalikan kepada dana khas dan prosiding pengkomitan boleh difailkan terhadap defendan.
Pembayaran berlebihan atau bayaran berganda yang disebut di sini bermakna 1MDB sebelum ini telah membayar kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS (didaftarkan di British Virgin Island).
Sedangkan 1MDB sepatutnya membayar Aabar Investment PJS (di Abu Dhabi) yang didaftarkan di bawah IPIC. Bon yang diambil oleh 1MDB itu untuk membeli Penjana Kuasa Bebas (IPP).
Kerajaan baru siasat 1MDB
Penarikan semula usul rayuan tersebut direkodkan di hadapan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Intan Syafinaz Roslin hari ini.
Penarikan dibuat tanpa perintah terhadap kos.
Peguam Nur Dalila Husna Azmi mewakili GANT1 manakala Nik Alia Hanafi bagi pihak Najib, peguam kanan persekutuan, Shaiful Nizam Shahrin mewakili kerajaan dan peguam Wong Tie Jee pula untuk 1MDB.
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang turut mewakili GANT1 menjelaskan keputusan menarik diri daripada saman itu susulan langkah kerajaan baru yang menyiasat kes berkenaan dan sedang mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Janji yang sama, katanya, dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB untuk mengkaji dan mungkin mengambil tindakan terhadap bekas pengarahnya berkaitan perjanjian dan penyelesaian timbang tara itu.
Haniff berkata tindakan GANT1 untuk memfailkan saman itu kerana pihak berkuasa sebelum ini tidak bertindak dan sekarang akhirnya tindakan telah dilakukan.
"Oleh itu, mereka meletakkan kepercayaan mereka kepada pihak berkuasa, kerajaan dan lembaga 1MDB dalam perkara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan