Oleh kerana itu, waris mangsa membantah sebarang pengiktirafan perjuangan puak berhaluan kiri itu termasuk menulis semula di dalam buku teks sejarah.
Abdullah Chandi, 77, berkata, akibat kekejaman komunis dia kehilangan abangnya yang juga Konstabel Khas (SC), Ishak Chandi yang berumur 30 tahun pada 1953.
“Arwah abang pakcik ketika itu diserang komunis ketika pulang menunaikan solat Jumaat di Bekok dan dalam kejadian itu, 21 daripada 23 orang termasuk orang awam yang menaiki lori terkorban terkena serpihan bom dipasang di Ladang Sungai Bekok.
“Hingga saat ini pakcik masih terbayang keadaan jenazah abang pakcik yang cedera parah di belakang kepala sehingga otaknya terkeluar walaupun peristiwa tersebut sudah berlalu lebih 60 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, ketika kejadian, dia baru berusia 12 tahun dan paling terkesan pada dirinya sehingga kini, arwah abangnya itu sempat menghadiahkannya basikal selepas dinaikkan pangkat.
Bagi Aman Maada, 74, kekejaman komunis membuatnya lima beradik membesar tanpa kasih sayang seorang ayah selepas bapanya, Maada Mohd Kasi ditangkap komunis dan dibawa ke hutan gara-gara tidak menyo¬kong perjuangan mereka.
“Menurut cerita arwah ibu, bapa yang juga Penghulu Mukim Labis ketika itu telah ditangkap oleh kira-kira 30 pengganas komunis yang datang ke rumah kami pada tengah malam sebelum membawa bapa ke hutan dan hilang tanpa khabar berita hingga kini.
“Peristiwa pada 1944 itu berlaku ketika arwah ibu dalam tempoh berpantang selepas melahirkan pakcik dan sehingga kini kami tak dapat maafkan perbuatan komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berpendapat tidak perlulah mana-mana pihak yang tidak pernah merasai penderitaan menjalani kehidupan pada zaman komunis berlagak pandai memutarbelitkan fakta sejarah semata-mata mahu mengangkat perjuangan komunis.
Sementara itu, bekas SC, Johari Yunus, 91, berkata, dia sendiri yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat mangsa serangan bom di Ladang Sungai Bekok mengakui kekejaman komunis sungguh dahsyat dan tidak dapat dibayangkan oleh generasi kini.
“Bayangkan semua mangsa dalam keadaan amat mengerikan kerana banyak anggota badan terputus dan tidak sempurna, dan disebabkan itu sehingga kini pakcik memang benci komunis.
“Pakcik harap generasi hari ini tak agungkan komunis, sebaliknya hargai jasa pasukan keselamatan berkorban nyawa untuk beri keamanan kepada kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan