Rabu, 15 Ogos 2018

Johor tawar pembelian rumah tanpa deposit



Johor tawar pembelian rumah tanpa deposit


Kerajaan Negeri Johor telah menawarkan khidmat pembelian rumah tanpa deposit kepada rakyat di negeri ini.

Hal itu telah dibahaskan oleh Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan dari Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam sidang Dewan Negeri (DUN) Johor semalam.

Dalam kenyataan itu, Dzulkefly menyatakan program yang diberi nama Jauhar Prihatin itu akan memberi tawaran kepada rakyat untuk membeli secara sewa beli.

“Program ini menawarkan penyewaan dalam jangka masa dua hingga lima tahun. Penyewaan tersebut akan dikira sebagai wang deposit untuk membeli sesebuah rumah.

“Pembeli akan mengikat perjanjian sewaan dan selepas perjanjian sewaan tersebut selesai, pihak pembeli akan terus menyambung bayaran kepada pihak pemaju untuk membuat bayaran secara belian.

“Pihak kami maklum berkenaan dengan kepayahan untuk seseorang pembeli rumah mengadakan deposit dan pihak kerajaan maklum dengan ketidak mampuan sesetengah pihak yang tidak mampu untuk meminjam di bank maka dari itu pihak kerajaan berusaha membantu rakyat melalui program ini,” ujarnya.

Dalam kenyataan lain, beliau menegaskan bahawa rumah program Jauhar Prihatin tidak boleh disewakan kepada pihak ketiga.

“Rumah Jauhar Prihatin tidak boleh disewakan kepada pihak ketiga. Kerajaan hanya memberikan rumah tersebut kepada pihak pembeli sahaja.

“Tindakan akan diambil bagi mereka yang menyewakan rumah kepada pihak ketiga. Pihak kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas seperti membatalkan perjanjian atau amaran yang keras,” ujarnya.

Tiada ulasan: