ULASAN | Utusan Malaysia tidak perlu dibunuh kerana ia akan mati dengan sendirinya kerana tidak mengamalkan ketamadunan journalisme dan mengharapkan pendapatan bukan daripada jualan akhbar tetapi sumbangan kewangan parti Umno dan kerajaan.
Edarannya tidak mungkin akan meningkat kerana dasarnya tidak selari dengan ketamadunan masyarakat Malaysia Baru yang dilahirkan oleh rakyat yang menentang rasuah dan penyelewengan.
Sebaliknya Utusan terus mempertahankan pemimpin yang tersungkur atas kehilangan kepercayan rakyat.
Jika Umno tidak membiayainya sejak sebelum PRU14 maka Utusan telah pun lama mati.
Edarannya telah merudum kerana dasarnya yang tidak seimbang. Oleh kerana tekanan ini, Utusan telah bertukar daripada sebuah akhbar umum kepada benar-benar menjadi lidah rasmi parti tanpa berselindung, berdiplomasi dan peradaban sebagai akhbar harian nasional.
Ia telah menyeleweng terus daripada arahan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman apabila mengambil alih Utusan Melayu daripada golongan nasionalis kiri pada 1961 supaya Utusan tetap memberikan tempat kepada berita-berita pembangkang di samping memberikan keutamaan kepada berita-berita Umno dan Perikatan (Gabungan parti-parti sebelum BN).
Buang etika kewartawanan
Apa yang dapat dilihat oleh orang ramai dalam masa pilihan raya lalu, Utusan menjadi akhbar yang membuang peradaban dan etika kewartawanan, menyiarkan berita sebelah pihak, bias, tidak adil, rekaan dan ramalan ikut sentimen parti.
Malah ia memburukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ke taraf yang paling hina sehingga menimbulkan rasa muak di kalangan pembaca.
Sejak berpuluh tahun lalu saya tidak pernah satu hari pun tidak membaca Utusan walaupun telah bersara tetapi saya berhenti membacanya sejak dua tahun lalu.
Saya membacanya semula selepas PRU tetapi berhenti lagi setelah melihat tiada perubahan yang diharapkan oleh rakyat.
Tak ambil peluang pulih imej
Sayang Utusan tidak mengambil kesempatan selepas pilihan raya untuk memulihkan imejnya sebagai strategi politik jangka panjang dan juga bagi meningkatkan edarannya ketika ramai orang telah kembali kepadanya untuk melihat perubahan dasarnya. Para pengarang Utusan yang bertanggungjawab tidak menghormati harapan pembacanya.
Pembaca tradisinya yang setia juga tidak lagi membaca Utusan dan ramai yang kembali membaca selepas PRU14 telah kembali memulaukannnya tanpa arahan sesiapa tetapi daripada kesedaran hati naluri sendiri yang mendapati Utusan terus menjadi lidah rasmi parti.
Orang yang cuba mempertahankan kebebasan akhbar ini ialah orang yang tidak mengenal kebebasan sebaliknya melihat kebenaran hanya apabila dilakukan oleh kerajaan daripada partinya.
Bagaimanapun kerajaan yang ada sekarang tidak menyekat siaran berita daripada parti pembangkang oleh semua akhbar dibandingkan dengan kerajaan BN. Rakyat boleh membuat perbandingan dengan kerajaan Najib dahulu.
Henti langganan
Kerajaan juga tidak menyekat orang ramai membeli mana-mana akhbar kecuali menyekat langganannya oleh jabatan kerajaan daripada wang kerajaan kerana ini samalah seperti keadaannya seperti kerajaan melanggan Harakah atau Roket. Utusan sekarang setaraf dengan mereka sebagai lidah rasmi parti Umno dan sekarang juga menjadi lidah Pas.
Dengan berselindung di sebalik kebebasan, Utusan yang biasa hidup dengan dibantu oleh parti dan kerajaan sekarang mengharapkan belas kasihan daripada tangan yang pernah mereka gigit dengan ganas.
Jika kerajaan meneruskan bantuan sekalipun, mereka akan terus menyalahgunakan kuasa kerana mereka tidak dapat melihat kebenaran hakiki dan diabui kefanatikan. Mereka juga tidak tahu lagi untuk berdiri atas kaki sendiri kerana terbiasa dengan bantuan.
Lebih dasyat daripada komunis
Utusan langsung tidak dapat menciumi Malaysia Baru kerajaan HARAPAN yang melampaui batas kaum yang jelas dapat dilihat kebijaksanaan, kualitinya dan imej barunya terutama dalam persidangan parlimen.
Utusan beralih kepada dasar baru untuk memulihkan kekuatan Umno dengan menunjukkan isu-isu perkauman dan keagamaan yang basi yang sudah tidak lagi dapat diterima oleh rakyat yang telah jauh ke hadapan daripada pemikiran para pengendali Utusan sendiri.
Generasi Melayu baru tidak lagi mudah dimainkan emosi mereka oleh isu-isu yang telah ketinggalan zaman sebaliknya mereka mempunyai keyakinan kerajaan baru HARAPAN akan dapat menanganinya dengan lebih halus dan lebih bijak.
Yang utama bagi mereka sekarang ialah perpaduan untuk memusnahkan musuh rakyat yang lebih besar yang datang daripada orang Melayu sendiri iaitu pencuri wang negara, perasuah, IMDB, penyeludup barang-barang kemas beratus juta ringgit dan sebagainya.
Ini lebih dasyat daripada komunis yang berjuang untuk kemerdekaan dibandingkan dengan mereka yang berjuang untuk kemewahan diri sendiri atas pemerasan wang negara dan di atas penghisapan darah rakyat.
Tak dibaca orang Umno sendiri
Saya sendiri berkesempatan melihat bagaimana Utusan Melayu dikendalikan sejak diambil oleh Umno pada tahun 1961.
Mereka mematuhi arahan Presiden Umno Tunku Abdul Rahman dalam arahan empat dasar Umno terhadap Utusan pada tahun 1959 supaya tidak dipulaukan terus berita-berita pembangkang.
Hal ini terus berlaku semasa saya, Johan Jaafar dan juga khalid Mohd menjadi ketua pengarang.
Maka itu Utusan tetap dirindui walaupun dibenci. Tetapi dalam masa Najib, berita-berita pembangkang dibenamkan terus dan pembaca hanya membaca jawapan kerajaan atau Umno tanpa mengetahui berita yang dijawab oleh mereka.
Saya pernah dipanggil oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ekoran bantahan menteri-menteri besar kerana Utusan menyiarkan interbiu khas dengan benteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz berikutan kejayaan PAS bagi pertama kali menawan Kelantan.
Saya telah bertaya kepada Dr Mahatir adakah beliau mahu menjual Utusan kepada orang Umno sahaja. Mahathir memahaminya
Utusan dalam era Najib bukan sahaja tidak dibaca oleh pembangkang tetapi oleh orang-orang Umno sendiri kerana mereka tidak mendapat maklumat yang mereka perlukan daripada Utusan tetapi terpaksa mencari dari media sosial atau dari Sinar Harian.
*TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan