Isnin, 13 Ogos 2018

Bermegah dengan LGBT hanya undang bala

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Golongan songsang disanjung kononnya kerana hak asasi manusia


Muhammad Khalil Abdul Hadi
 

BANGI – Pemuda PAS hari ini mengingatkan kerajaan dan masyarakat supaya tidak bermegah-megah dengan kemungkaran seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), yang hanya mengundang bala daripada Allah.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, suasana yang berlaku hari ini sudah melampau sehingga ada yang bermegah-megah, hingga hilang perasaan malu.

“Golongan ini diangkat dan disanjung sama ada secara sedar atau tidak, maka mereka dengan megah mendabik dada kerana dibela oleh pihak-pihak di dalam dan luar negara kononnya di atas asas hak asasi manusia.

“Walhal apa yang mereka lakukan bercanggah dengan tabiat semula jadi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalil berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sikap bermegah-megah dalam melakukan kemungkaran boleh mengundang bala daripada Allah.

“Kaum dan umat yang ditimpa bala oleh Allah di zaman dahulu adalah kerana mereka bermegah-megah melakukan kemungkaran. Kaum A’ad, Tsamud, penduduk Sadom dan lain-lain lagi dibinasakan oleh Allah apabila mereka menzahirkan kemungkaran dan bermegah-megah dengannya.

“Semoga Allah melindungi kita semua daripada bala-Nya. Sesungguhnya Allah menjadi saksi bahawa kami telah menyampaikan amaran ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menidakkan keperluan untuk mendekati golongan tersebut dengan dengan tujuan menasihati dan membimbing, tetapi bukan mengangkat golongan ini sebagai tokoh dan ikon.

“Perlu diingat, ada perbezaan antara melakukan kemungkaran dan bermegah-megah melakukan kemungkaran,” katanya.


Tiada ulasan: