Jumaat, 3 Ogos 2018

Azman Moktar: Pelaburan Khazanah macam main bola, untung 5 rugi 1

MALAYSIAKINI



Bekas pengarah urusan Khazanah Nazional Berhad (Khazanah) Tan Sri Azman Moktar menjawab dakwaan syarikat itu kerugian dalam pelaburannya, berkata keuntungan syarikat pelaburan negara itu lebih banyak untung daripada mengalami kerugian, lapor media tempatan.

"... jumlah keuntungan kami sepenjang tempoh ini (2008-2017) adalah kira-kira RM100 bilion dengan 10 syarikat teratas mencatat keuntungan sebanyak RM92 bilion manakala 10 syarikat yang mencatat kerugian terbesar berjumlah kira-kira RM19 bilion (Malaysia Airlines Berhad -MAB) atau dahulu MAS sahaja pada RM8.4 bilion diikuti Silterra pada RM5.5 bilion dan Olivant berada di tempat ketiga pada RM1.7 bilion.

"Dalam terma pelaburan, ini bermakna keuntungan kami melebihi jumlah kerugian dengan faktor (nisbah) 5:1. Dalam istilah bola sepak, ia memenangi permainan dengan jaringan 5-1," maklum Azman, dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, akhbar The Straits Times Singapura memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyasarkan Khazanah Nasional kerana syarikat pelaburan negara itu kerugian RM 3 bilion dalam pelaburan.

Laporan itu menyebut Khazanah pada tahun 2008 "memulakan strategi pelaburan yang sangat sulit" yang mana syarikat itu meletakkan dananya dengan pengurus bank berpengalaman, Luqman Arnold.

Melalui kumpulan pelaburannya, Olivant, Luqman Arnold juga menguruskan beberapa institusi besar kewangan Eropah.

'Operation Red'

Pelaburan berkenaan digelar sebagai "Operation Twist" yang kemudian menjadi "Operation Red" yang melibatkan Khazanah, bersama dengan Olivant dan Bank Santander dari Sepanyol yang bertindak sebagai rakan kongsi, memperoleh kepentingan 2.6 peratus di Bank Swiss, UBS.

Seluruh saham di UBS diuruskan oleh Lehman Brothers, yang pada September 2008 difailkan muflis.

"Keseluruhan pemegangan saham di UBS telah disimpan di dalam akaun-akaun yang diuruskan oleh bank Wall Street yang gagal, yang mengakibatkan kerugian pelaburan Khazanah bernilai RM3 bilion," kata laporan itu.

Menurut laporan The Straits Times itu, Khazanah secara agresif cuba mendapatkan kembali wang yang lesap akibat kerugian daripada pelaburan gagal itu dengan membuat tuntutan kepada pentadbir global Lehman, PriceWaterHouseCoopers dan selepas empat tahun berjaya memulihkan kira-kira 50 peratus daripada pelaburannya berdasarkan sumber kewangannya.

Laporan itu juga menyatakan komen kritikal Mahathir terhadap Khazanah berpunca daripada episod ini.

Manakala itu, menurut laporan Utusan Malaysia pula Azman menjelaskan pelaburan dalam UBS menerusi Olivant hanya melibatkan kerugian berjumlah RM1.7 bilion dan bukannya berjumlah RM3 bilion seperti yang dilaporkan akhbar Singapura itu..

"Menerusi kerja-kerja pemulihan yang teliti, lebih separuh atau 53.5 peratus daripada nilai pelaburan atau RM1.9 bilion telah dipulihkan.

"Kajian semuladalaman oleh ahli lembaga bebas dengan input KPMG mendapati bahawa kes itu jelas tiada salah laku dan proses pelaburan serta kelulusan daripada ahli lembaga telah dipatuhi," katanya dalam nota sepanjang lima muka surat, petik laporan Utusan Malaysia lagi.

Najib letak jawatan pengerusi lepas PRU14

Selepas peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarahnya baru-baru ini, Dr Mahathir mengambil alih jawatan pengerusinya.

Jawatan pengerusi Khazanah sebelum ini dipegang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang meletakkan jawatan pada 31 Mei lalu, selepas BN tewas pada pilihan raya umum ke-14.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin pula dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah.

Tan Sri Mohd Hassan Marican, yang juga ahli majlis penasihat kerajaan, juga disenaraikan dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Dua lagi ahli lembaga pengarah yang lain ialah Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin.

Sukhdave merupakan bekas timbalan gabenor Bank Negara manakala Goh adalah pengarah di Maybank Asset Management Group Berhad dan pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi pembangunan pasaran.


Tiada ulasan: