Isnin, 6 Ogos 2018

Ada masa 5 tahun untuk kaji, iktiraf UEC, kata Maszlee

 
Kata Maszlee, kementerian beliau akan menjalankan kajian dan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu dan keharmonian antara kaum.
 
 
 
Maszlee berkata, perkara itu tidak perlu disegerakan kerana ia bukanlah salah satu janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian beliau mempunyai masa 5 tahun untuk memutuskan sama ada mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina selepas menjalankan kajian menyeluruh ke atasnya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan mengambil maklum bahawa pengiktirafan UEC sebagai syarat masuk ke universiti tempatan merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.

Bagaimanapun kata beliau, perkara itu tidak perlu disegerakan kerana ia bukanlah salah satu janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

“Kementerian akan menjalankan kajian dan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak dengan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu dan keharmonian antara kaum,” katanya ketika menjawab soalan di Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, kementerian mahu memastikan langkah mengiktiraf UEC tidak akan menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

Maszlee menjawab pertanyaan Alice Lau (PH-Lanang) yang mahu tahu bilakah janji PH hendak mengiktiraf UEC akan dipenuhi.

Lau juga bertanya sama ada sekolah persendirian Cina akan menerima dana kerajaan, yang dijawab oleh Maszlee bahawa sekolah berkenaan bukan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Tiada ulasan: