Khamis, 16 Ogos 2018

7 pelajar dikejarkan ke hospital terhidu gas ammonia

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Tujuh orang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Klang, di sini yang terletak bersebelahan dengan kilang ais yang mengalami kebocoran gas ammonia pagi tadi, dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata empat daripada pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang manakala bakinya dihantar ke Hospital Shah Alam.

“Kesemua mereka kini berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Berikutan kejadian itu, sesi persekolahan di sekolah itu terpaksa dibatalkan.

Pengetua sekolah, Lin Peck Poh berkata beliau mengesyaki berlaku kebocoran gas berbahaya berkenaan pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mengarahkan semua pelajar dan guru supaya pulang kerana risaukan keselamatan mereka.

“Masa itu ada bau sangat kuat macam hari Isnin lepas, untuk keselamatan saya suruh pelajar yang mempunyai kenderaan sendiri untuk pulang dan mana yang tiada kenderaan kita bawa mereka ke sebuah restoran makanan segera di kawasan ini untuk menunggu ibu bapa mereka datang ambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, dua pekerja warga asing kilang berkenaan maut manakala 18 yang lain dimasukkan ke hospital selepas terhidu gas ammonia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengetua sekolah berkenaan pada kira-kira pukul 7 pagi dan mengarahkan 16 anggota bomba termasuk lima anggota Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi.

“Siasatan awal kami mendapati kebocoran berlaku di dalam kawasan kilang dan belum merebak ke kawasan sekitar, bacaan tahap gas ammonia dalam udara di dalam kilang adalah pada kadar 200 ppm (part per million) dan di luar kawasan kilang pada 10 ppm berbanding bacaan normal 50 ppm,” katanya.

Tambah Azmel pemilik kilang juga menyatakan bahawa kilang berkenaan tidak beroperasi selepas diarahkan tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam pada Isnin lepas dan bomba sedang giat mencari punca kebocoran lain pada mesin di kilang itu.—Bernama

Tiada ulasan: