Khamis, 22 Februari 2018

PPBM tak perlu 'derma' mengarut Jamal - Kamaruddin

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang lagi pemimpin PPBM hari ini mempersenda tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menyumbang sebanyak RM7 bilion kepada parti itu, dengan menyifatkan 'derma' tersebut sebagai mengarut dan membuang masa. 
 
Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Nor secara sinis menyindir gimik pemimpin kontroversi Umno itu yang dakwanya hanya cuba mencetuskan provokasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
 
"Dan elok juga LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) pergi jumpa (untuk siasat) Jamal, dari mana dia dapat duit banyak, derma Arab ke? Arab mana pulak yang derma dekat dia?", ujarnya kepada Antarapos. 
 
Kamaruddin sebaliknya menyarankan Jamal agar mendermakan wang tersebut kepada kerajaan.
 
"Wahh, dia 'menderma' RM7 bilion, minta dia sumbang kepada kerajaan lah, kita tak perlu duit dia", ujar bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh itu lagi. 
 
Sebelum ini, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyindir tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu dengan mengucapkan terima kasih kerana membantu dan sudi 'menderma' kepada parti itu.
 
Awal hari ini, Jamal melakukan gimik terbaru dengan 'mendermakan' RM7 billion (USD 1,800 Million) kepada PPBM bagi membiayai parti itu sekaligus membantu gerak kerja mereka menghadapi PRU14.
 
Menurut Jamal, tindakan memberi sumbangan kepada PPBM dilakukannya supaya parti itu tidak lagi meminta derma orang ramai.
 
 

Tiada ulasan: